19 Disember 2010

Konvensyen Pakatan bermula dengan amaran pada Umno

13 Muharram 1431h.

Konvensyen Pakatan Rakyat bermula pagi ini dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberi amaran kepada Umno daripada 'merampas' Perlembagaan Persekutuan untuk terus memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Katanya, Umno sering memetik Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan
mengenai kedudukan istimewa orang Melayu sebagai justifikasi kepada pendekatan rasis mereka.

Namun, tegasnya, Umno selalu gagal untuk menyebutkan Perkara 153 juga menyatakan bahawa kepentingan yang sah masyarakat lain, juga mesti dilindungi.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP berkata, adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara tersebut.

Antara pemimpin Pakatan yang hadir di konvensyen itu ialah ketua
umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; pengerusi kebangsaan DAP, Karpal Singh dan presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim; Menteri Besar Kedah, Datuk Azizan Abdul Razak dan wakil mursyidul am PAS, yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Kira-kira 1,800 orang menghadiri konvensyen sehari itu, yang dijangka berakhir jam jam 6 petang.

Malam tadi, Anwar bersama-sama dengan para pemimpin Pakatan, mengadakan ceramah di Balik Pulau, sebagai pemanas kepada konvensyen hari ini.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: