09 Mac 2011

Anak tetap anggap Felda Plantation haram

04 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsan (Anak) mengulangi dakwaan bahawa Felda Plantation ialah organisasi haram dan terbatal kerana bertentangan dengan Akta GSA 1960 iaitu status pemilikan hanya individu (seksyen 7 (2) dan koperasi (seksyen 11(1).

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata dakwaan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa Felda Plantation tidak tertakluk di bawah GSA adalah alasan semata-mata untuk tindakan kerajaan yang bertentangan dengan matlamat asal menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat telah menipu dan mengkhianati Kerajaan Negeri kerana mewujudkan penempatan tanpa peneroka.

"Dasar yang diperkenalkan Tun Dr Mahathir pada tahun 1992, bercanggah dengan hasrat Allahyarham Tun Abdul Razak ketika beliau membentangkan Akta GSA dibentang dan digubal untuk memberikan panduan dan keseragaman kepada semua negeri-negeri di tanah Melayu bagi mencapai hasrat kerajaan untuk membangunkan taraf kehidupan penduduk luar bandar.

"Keluasan 367,710 hektar tanah Felda Plantation adalah datangnya dari kerajaan negeri. Jik tidak tertakluk di bawah GSA, ia bernaung melalui peruntukan apa?" soalnya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dakwaan Anak berhubung perkara ini sebelum ini dinafikan Ahmad yang mengatakan ianya tidak berasas kerana syarikat itu memiliki surat hak milik ladang berkenaan.

Menurut Mazlan lagi, tanah ialah aset yang berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri dan kesediaan kerajaan negeri memberikan sejumlah tanah yang luas kepada Kerajaan Pusat menerusi Felda adalah bertujuan memberikan tanah kepada rakyat yang tidak mempunyai tanah.

Semak semula pemberian tanah untuk Felda Plantation

Beliau turut mendedahkan bahawa pengambilan tanah untuk tujuan Felda Plantation dibuat secara paksaan dari kerajaan negeri yang tidak difahami secara jelas maksudnya.

"Hujah Perdana Menteri yang mengatakan bahawa 51 peratus kepentingan Koperasi Permodalan Peneroka Berhad ada dalam Felda Plantation dan memberi dividen 14 peratus setiap tahun kepada peneroka adalah lari dari realiti sebenar ayahanda beliau, Tun Abdul Razak," katanya.

Sehubungan itu, Anak mencadangkan semua kerajaan negeri meyemak semula pemberian tanah untuk Felda Plantation degan dimulai Kerajaan Pakatan Rakyat di Kelantan, Selangor dan Kedah dan boleh dirujuk melaui seksyen 44(GSA) iaitu kuasa menamatkan GSA.

"Tidakkah kita berasa bangga jika tanah Felda Plantation dikurniakan kepada generasi kedua dan ketiga Felda ia memberi manfaat kepada 79,000 orang dan merangsang sosioekonomi rakyat khususnya bangsa Melayu?" soalnya lagi.

Katanya juga, nasib 45,000 pekerja Felda Plantation ketika ini sedang menderita dengan gaji rendah, diperlaku seperti hamba dan kebajikan mereka yang diabaikan.

Malah peserta Felda Plantation Sagu 4, Kuantan mengadakan mogok dan membuat laporan polis kerana tidak tahan dengan tekanan melampau pihak pentadbiran Felda Plantation.

Harakahdaily/-
Oleh : Hazayani Zakaria.

1 ulasan:

PAS berkata...

Peneroka Felda lebih beruntung bertuah dari kebanyakan rakyat yang bekerja di kilang2 atau yang tinggal di kampung tanpa perkerjaan dan harta.

Daripada mengutuk Felda adalah lebih baik membela nasib rakyat yang tidak berjaya masuk Felda, terutama di negeri2 yang di perintah oleh Pakatan Rakyat.