09 Mac 2011

Kenyataan Media : Ganesan tidak jawab persoalan yang saya kemukakan.

04 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Berhubung surat rasmi dari SU DUN Perak bertarikh 7 Februari 2011 dan saya diminta hadir untuk memberi keterangan dalam sesi soal jawab kepada Jawatakuasa Hak dan Kebebasan Dewan pada 25 Februari pada jam 10.30 pagi di bilik mesyuarat jawatankuasa kira-kira wang negeri Perak Aras 2, Bangunan SUK Ipoh berkaitan isu bomoh masuk Dewan yang saya dedahkan.

Seperti yang diketahui umum saya tidak hadir dalam sesi tersebut dengan alasan yang saya kemukakan namun JK Hak dan Kebebasan bersidang juga dan dikatakan oleh Speaker Ganesan bahawa nasib saya hanya akan diketahui apabila dewan bersidang , dan untuk sidang akan datang telah ditetapkan pada 5 April akan datang.

Datuk R Ganesan berkata keputusan jawatankuasa itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat DUN Perak ke-12 sebelum dibahas dan dibuat undian dalam dewan sebelum tindakan diambil terhadap saya.

Walaupun saya tidak hadir memberi keterangan pada 25 Februari, Ganesan mengumumkan bahawa keputusan sudah dibuat oleh JK Hak dan kebebasan berkaitan isu tersebut.
Sehubungan dengan itu saya suka untuk memberi kenyataan seperti berikut :-

1. Saya mendapati Ganesan tidak menjawab isu asal yang saya kemukakan iaitu tidak sahnya usul yang dikemukakan kepada saya supoaya dihadapkan ke JK Hak dan kebebasan.

2.Usul berkaitan adalah tidak sah dan terbatal apabila Speaker DUN Perak tidak mengembalikan usul itu kepada Dewan bagi mendapat sokongan sebelum memutuskan saya perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

3.Sebelum mendapat sokongan dari Ahli Dewan, Speaker terus mengumumkan “Dewan dengan ini terima usul Titi Serong akan dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan” dan ini melanggar Perintah-perintah Tetap Dewan Perak Perkara 33:-

(1)Apabila sesuatu usul itu telah dicadang dan disokong, jika berkehendakkan disokong. Pengerusi hendaklah mengemukakan kepada Dewan atau Jawatankuasa sebagaimana kandungan usul itu, selepas itu masaalah itu bolehlah dibahaskan dan dan boleh tertakluk kepada peruntukan Perintah-perintah Tetap ini, diteruskan selagi ada ahli yang hendak berucap.

(2)Apabila tidak ada lagi ahli yang hendak berucap, maka Pengerusi hendaklah meminta keputusan Dewan atau Jawatankuasa itu hendaklah menyatakan keputusannya menurut peruntukan-peruntukan Perintah Tetap 45:-

“45. Tertakluk kepada peruntukan perenggan (4) Fasal III Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak bahagian 1. Dewan hendaklah mengambil keputusan mengikut pihak mana yang mendapat undi lebih dan jika sama banyak undi, Tuan Speaker atau sesiapa yang mempengerusikan mesyuarat hendaklah mengeluarkan undi pemutus tetapi ia tidak boleh mengundi di dalam keadaan lain

4.Saya suka mengulangi bahawa keputusan saya untuk tidak hadir dilakukan demi untuk menjaga kesucian DUN Perak dari melakukan sesuatu tindakan dan keputusan dengan melanggar undang-undang dan peraturan yang sedia ada.
5. Saya tegaskan disini bahawa saya tidak takut untuk menghadapi keputusan yang kononnya telah diputuskan dakan JK Hak dan kebebsan yang bersidang pada 25 Februari tersebut.

6. Sesungguhnya semua keputusan yang diambil oleh JK tersebut adalah tidak sah dan terbatal kerana ianya bersidang dengan melaksanakan satu keputusan yang bercanggah dengan Peraturan Tetap Dewan Negeri Perak.

7. Tindakan ini untuk sekian kalinya membuktikan bahawa Ganesan tidak layak lagi menjawat jawatan sebagai Speaker dan dia mestilah dengan segera mengosongkan kerusi tersebut.

8. Segala tindakan yang akan berlaku terhadap diri saya dalam sidang dewan akan datang adalah tindakan yang melanggar undang-undaag yang sedia ada. Kecuali jika Ganesan kembali kepada persoalan asal bahawa usul yang dikemukakan kepada saya tidak sah maka semuanya adalah terbatal.

Drs. Khalil Idham Lim
ADUN Titi Serong.


Tiada ulasan: