17 Mac 2011

CHRI: Malaysia cabul hak asasi manusia

12 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Malaysia gagal mengotakan janjinya untuk memperbaiki rekod hak asasi, di sebalik dilantik menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kata sebuah laporan antarabangsa.

Menurut kumpulan Insiatif Hak Asasi Komanwel (CHRI), Malaysia bukan sahaja meneruskan undang-undang kuku besi tetapi gagal mempertahankan hak kumpulan tertindas yang dijanji negara ketika dilantik ke majlis PBB pada 2006.

"Di sebalik ikrar Malaysia bagi menyokong tindakan antarabangsa bagi memperjuangkan hak mereka yang tertindas termasuk kanak-kanak, pelarian, pencari suaka politik, pendatang asing sama ada sah ataupun tidak, - golongan itu terus merana manakala perkahwinan kanak-kanak pula berlarutan,” petik laporan itu.

Apabila dilantik, kata laporan CHRI, Malaysia menunjukkan bagaimana negara itu berjaya mengimbangi keperluan keselamatan dan pada masa yang sama menegakkan hak asasi.

Namun sepanjang tempoh masa Malaysia menganggotai majlis itu, Akta Keselamatan Dalam Negara digunakan ke atas ahli parlimen pembangkang, Teresa Kok, seorang wartawan yang melaporkan kenyataan rasis oleh ketua bahagian Umno dan seorang bloger, Raja Petra Kamaruddin, kata laporan itu lagi.

Memilih untuk tidak mempertahankan kerusinya di majlis PBB itu pada 2009, Malaysia terus menyalah-gunakan ISA bagi menyekat kebebasan beragama dengan menangkap sembilan rakyat asing yang didakwa menghadiri mesyuarat Syiah pada Januari tahun lalu.

Menurut laporan itu, terdapat bukti pencabulan penggunaan Akta Hasutan ketika Malaysia menduduki kerusi majlis itu apabila aktivis seperti Wong Chin Huat ditangkap mengikut ISA kerana menganjurkan orang ramai supaya berpakaian hitam ketika rampasan kuasa di Perak.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: