17 Mac 2011

Loteri : Kelantan Arah Penasihat Undang-Undang Buat Tafsiran

12 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 17 MAC : Kelantan bersedia mengkaji semula larangan penjualan tiket loterinya bersandarkan tafsiran Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri mengenai isu itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

Dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Setiausaha Akhbar Nik Aziz, Ahmad Fadhli Shaari, Menteri Besar itu berkata tafsiran Penasihat Undang-Undang negeri amat penting kerana isu itu turut membabitkan enakmen Kerajaan Persekutuan.

Nik Aziz sebelum itu menemui rombongan Pakatan Rakyat bagi membincangkan larangan penjualan tiket loteri di negeri itu yang menjadi modal politik terbaru MCA dan rakan parti komponen dalam Barisan Nasional.

Pengeluaran tiket loteri dan lesen judi adalah dibawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan Umno-Barisan Nasional sungguhpun penjualannya adalah tertakluk kepada undang-undangan Pihak Berkuasa Tempatan.

Nik Aziz mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda DAP Anthony Loke, Ahli Jawatankuasa Pusat DAP Liew Chin Tong, Ketua Penerangan PKR, Dr Mohd Nur Manuty dan Setiausaha Agong PAS Datuk Mustapa Ali.

Mustapa ketika dihubungi berkata, Penasihat Undang-undang Negeri telah ditugaskan untuk mengkaji dari sudut perundangan berhubung larangan penjualan tiket loteri di negeri berkenaan.

" Selama ini ia tidak mendatangkan sebarang masalah. Yang menjadi pertikaian hanya kerana big sweep itu yang dikatakan tidak memerlukan premis. Jadi oleh itu, kita akan serahkan kepada pihak yang berkenaan untuk mengkaji hal itu,"katanya.

Mengulas keputusan yang dicapai dalam mesyuarat itu, Dr Mohd Nur pula berkata, kerajaan negeri Kelantan membuat keputusan yang berimbang untuk memenuhi tuntutan agama Islam dan keperluan penganut lain di negara ini.

" Nampaknya kenyataan itu adalah keputusan yang berimbangan dan tidak mendatangkan masalah kepada orang bukan Islam,"ujarnya.

Dalam kenyataan media yang dibacakan oleh Setiausaha Akhbarnya, Nik Aziz turut melahirkan rasa kesal terhadap Kerajaan Persekutuan kerana masih menghalalkan perjudian secara terbuka yang memberi kesan buruk kepada rakyat Islam dan bukan Islam.

Bagaimanapun jelas beliau, kerajaan negeri mengambil pendirian terbuka terhadap sebarang cadangan dan saranan bersabit larangan penjualan tiket loteri di premis tidak belesen

Ahmad Fadhli berkata, umumnya dasar mengharamkan perjudian yang dipelopori oleh kerajaan negeri Kelantan tidak berubah sejak dilaksanakan lebih 20 tahun lalu.

" Cuma yang menjadi masalah ialah loteri-loteri yang tidak memerlukan premis berlesen untuk dijual. Jadi kita akan serahkan pada Penasihat Undang-Undang untuk membuat tafsiran. Kita tidak mengubah dasar (tetapi) isu ini perlu dilihat dari dari sudut undang-undang," beliau memberitahu TVSelangor.

"Jadi soal loteri big sweep yang tidak memerlukan premis berlesen untuk dijual, Kerajaan Kelantan bersedia nak menyerahkan pada penasihat undang-undang untuk membuat kajian," tambah beliau

Kerajaan negeri juga bersedia memberi penjelasanan sekiranya diperlukan atas isu itu pada bila-bila masa.

Dalam pada itu Mustapa berkata tafsiran undang-undang adalah diperlukan untuk memastikan sebarang bentuk larangan tidak bercanggah dengan undang-undang yang sedia ada.

Anthony berkata pihaknya berpuas hati dengan pendirian Nik Aziz untuk merujuk isu berkenaan kepada Penasihat Undang-Undang.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: