22 Mac 2011

Dasar Kelantan dalam isu judi banyak bawa kebaikan

17 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU – Pemuda Pas Kelantan menyokong penuh dasar Kerajaan Negeri berhubung isu judi kerana pelaksanaan dasar itu secara konsisten selama ini ternyata membawa banyak kebaikan.

Naib Ketuanya, Hisham Fauzi berkata, pihaknya berdiri teguh dan menyokong sepenuhnya dasar Kerajaan Negeri berkaitan isu itu yang memberikan kebaikan khususnya ke atas institusi keluarga.

“Malah jika dilihat dengan kaca mata agama, tindakan tersebut suatu kewajipan sebenarnya.

”Pemuda Pas menyeru mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan dasar itu mendapatkan penjelasan sebenar kenapa dasar ini diperkenal dan dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurutnya, untuk lebih memperkemaskan pelaksanaan dasar ini pihaknya menyokong penuh pendirian Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bersetuju merujuk perkara ini kepada Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri.

Katanya, langkah itu demi memastikan pelaksanaan dasar ini dilaksanakan mengikut lunas undang-undang berkaitan seperti Akta Rumah Judi Terbuka dan lain-lain undang-undang kecil di samping tetap memelihara hak rakyat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Hisham yang juga Ketua Pemuda Pas Tanah Merah berharap usaha membanteras judi haram di Kelantan diteruskan pihak berkuasa berkaitan demi memastikan kegiatan gejala sosial di negeri Kelantan dapat di kawal dan nama baik negeri ini akan tetap dijaga.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: