22 Mac 2011

Pegawai JPJ didakwa terima rasuah RM150

17 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KUANTAN - Seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima suapan sebanyak RM150 bagi menyelesaikan dua kes saman JPJ.

Mengikut kertas pertuduhan, P.Prakash, 29, dari Kampung Jawa, Kuantan, didakwa menerima RM150 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk menyelesaikan dua saman JPJ kerana tidak memakai tali pinggang keledar dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kedai Gunting Arif MZ, Cenderawasih, Kuantan pada 8 Jun 2010, kira-kira jam 2.25 petang.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Shafinaz Shabudin.

Hakim Fathiyah Idris kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Beliau kemudian menetapkan sebutan semula kes itu pada 22 April depan bagi membolehkan tertuduh mendapatkan khidmat peguam.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: