22 Mac 2011

Tiga beranak jadi mangsa rompak

17 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

FELDA CHEMPLAK - Sebuah rumah di sini, dipecah masuk empat lelaki sekitar jam 4.15 pagi, semalam.

Semasa kejadian, penghuninya sedang nyenyak tidur mengakibatkan mereka kerugian membabitkan sebuah kereta Proton Iswara, sebuah komputer riba, gelang dan rantai emas serta wang tunai.

Mangsa, Rohaizat Muhammad, 32, berkata, kejadian berkenaan hanya disedarinya apabila perompak mengejutkannya meminta kunci kereta.

“Sebaik terjaga, penyamun berkenaan mengugut saya dengan parang dan meminta menyerahkan kunci kereta kemudian mengikat tangan saya dengan tali pinggang supaya tidak mengejar mereka.

“Semasa dalam usaha melepaskan diri, saya terdengar jeritan emak di luar bilik kerana rantai dan gelangnya turut dirampas,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, ketika perompak berusaha melarikan diri dengan keretanya, dia mendapati salah seorang mereka sedang menunggu di luar rumah dan dia sempat membaling pasu bunga ke arah keretanya.

Rohaizat berkata, ini adalah kejadian pertama rumahnya dimasuki perompak dan bersyukur kerana adik serta ibunya tidak dicederakan walaupun dia sendiri mengalami kecederaan ringan pada pipi akibat dipukul dengan hulu parang.

Sementara itu, anggota Rukun Tetangga Felda Chemplak, Malik Abd Hamid, 60, berkata, pada tengah malam sebelum kejadian, pasukannya ada terserempak dengan empat penyamun berkenaan semasa membuat rondaan dan mereka lari ke dalam kebun sebaik dikejar.

“Anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) kita sentiasa berjaga hingga lewat malam bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku tetapi tidak menyangka masih terjadi dan melibatkan penduduk di sini,” katanya.

Sinar Harian/-

Tiada ulasan: