10 Mac 2011

Haris Zalkapli: Rusia membina pengaruh di Afghanistan dan Pasifik

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Januari lalu, pemimpin Afghanistan Presiden Hamid Karzai melawat Moskow, menjadi presiden kedua melawat Rusia dalam lawatan negara sejak lawatan pemimpin pro-Soviet, Mohammad Najibullah dua dekad lalu.

Lawatan itu diadakan pada masa Rusia kembali ke Afghanistan, menegaskan kembali pengaruhnya melalui bantuan ketenteraan dan pelaburan untuk pembangunan besar, termasuk empangan dan infrastruktur pengangkutan.

Rusia, melalui Gazprom, turut menunjukkan minat untuk terlibat dalam projek saluran gas merentasi Afghanistan, membekalkan gas Asia Tengah ke India.

Pelaburan dari Rusia disertai dengan bantuan material dan latihan untuk tentera Afghan berupaya meningkatkan lagi hubungan baik Kabul-Moskow, menambahkan lagi kompleksiti hubungan Rusia dengan AS.

Rusia akhirnya berjaya mendapatkan Barat diketuai Amerika Syarikat menerima peranan lebih besarnya di Afghanistan, walaupun pakatan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif, CSTO, masih tidak diiktiraf untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara, Nato, seperti diharapkan oleh Moskow.

Walaupun dilihat gagal menjadi pengaman ketika Kyrgyzstan menghadapi kebangkitan rakyat dan kemudian keganasan antara etnik tahun lalu, CSTO menjadi harapan sebagai pertubuhan multilateral untuk kerjasama negara-negara Asia Tengah di bawah pimpinan Rusia.

Moskow masih berusaha menjadikan CSTO organisasi yang lebih kohesif dan faktor utama dalam isu keselamatan bersama di Asia Tengah, dengan tumpuan pada masa ini difokuskan pada masalah dadah.

CSTO diusahakan lebih sebagai badan keselamatan kolektif dengan penekanan pada dimensi ketenteraan berbanding Pertubuhan Kerjasama Shanghai, SCO yang turut dianggotai Rusia tetapi lebih dikuasai oleh China yang lebih berhati-hati.

Satu permulaan kerjasama Rusia-AS berlaku pada Oktober tahun lalu apabila kerjasama agensi antinarkotik Rusia bekerjasama dengan Nato dalam satu serbuan menyasarkan makmal dadah di Ahghanistan, menghasil rampasan candu bernilai sekitar AS$200,000 menurut pihak Rusia.

Kerjasama itu walau bagaimanapun ialah yang paling jauh melibatkan kerjasama Nato dengan Rusia dalam hal dadah. Rusia menuntut kerjasama Nato dengan CSTO untuk memerangi produksi dadah Afghanistan, agenda tertinggi melibatkan CSTO di Afghanistan pada masa ini.

Rusia menyalahkan Nato yang didakwa tidak melakukan secukupnya untuk memerangi penghasilan dan penyeludupan dadah di Afghanistan, yang pasaran utamanya ialah Rusia.

Hal ini juga menerangkan kepentingan CSTO kepada Rusia, memandangkan negara sekitar terutama Tajikistan ialah laluan dadah dari Afghanistan ke Rusia.

Februari lalu, CSTO menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyenaraikan produksi dadah di Afghanistan sebagai satu ancaman global.

CSTO dianggotai Russia, Belarus, Armenia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan.

Rusia juga bulan lalu mengumumkan rancangan pemodenan ketenteraan menjelang tahun 2020 bernilai AS$650 bilion, melibatkan lapan kapal selam nuklear baharu, 600 jet dan 1,000 helikopter.

Rancangan ini memperlihatkan kesinambungan rancangan pembangunan diumumkan sejak lebih setahun lalu dengan lebih jelas lagi.

Selepas berita pembelian kapal perang dari Perancis yang mencetuskan kebimbangan Georgia, berita ini menjadi berita terbesar memperlihatkan usaha pembangunan ketenteraan Rusia pada masa ini.

Satu isu terkini yang dapat dikaitkan dengan ketenteraan Rusia pada masa ini ialah peningkatan aktiviti ketenteraan di Asia Timur dan Pasifik.

Rusia juga kini terlibat dalam pertikaian yang semakin sengit dengan Jepun melibatkan Kepulauan Kuril (dikenali sebagai Wilayah Utara oleh Jepun) sejak akhir tahun lalu, yang merupakan satu bahagian penting dalam pelan pengukuhan kuasa ketenteraan Rusia di Pasifik.

Awal bulan ini, Rusia menegaskan akan meningkatkan kemampuan ketenteraannya di kepulauan tersebut, termasuk menempatkan peluru berpandu dan helikopter penyerang.

Peningkatan intensiti pertikaian kepulauan itu selari dengan peningkatan kawasan Asia Timur dan Lautan Pasifik sebagai salah satu lokasi kritikal pada masa ini, dengan peningkatan kuasa China dan respons terhadap peningkatan itu.

Sebagai satu lagi kuasa yang menyempadani Pasifik, Rusia kini kelihatan menyedari kepentingan yang meningkat di kawasan itu, dan mengambil langkah memelihara kepentingannya.

Harakahdaily/-
Oleh : Haris Zalkapli.

Tiada ulasan: