10 Mac 2011

3 bandar Libya medan perang

05 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SEBAHAGIAN penentang kerajaan Libya menaiki trak selepas bertempur dengan askar yang setia kepada Muammar Gaddafi di pelabuhan Ras Lanuf, timur Libya, semalam.
Tentera kerajaan serang serta lepaskan tembakan meriam ke arah penentang

RAS LANUF: Pertempuran sengit serta serangan dari udara dan darat antara pemberontak dengan pasukan yang setia dengan pemimpin Libya Muammar Gaddafi, berlaku sekurang-kurangnya di tiga buah bandar di negara itu ketika penentangan ke atas rejim pemerintahan beliau memasuki minggu keempat.

Wartawan AFP yang berada di bandar Ras Lanuf, melaporkan tentera kerajaan melancarkan serangan dari udara dan melepaskan tembakan meriam di bandar itu, manakala kumpulan penentang dilihat bergerak ke arah jalan raya di kawasan gurun.
“Tembakan bertalu-talu kedengaran dan sekurang-kurangnya 10 letupan kedengaran dalam setiap dua minit.

“Pemberontak yang menguasai kebanyakan kawasan di timur Libya mendapati mereka ditentang pasukan kerajaan dan matlamat mereka untuk bergerak menuju ke Tripoli tersekat, selepas pasukan tentera rejim menawan semula bandar Bin Jawad,” katanya.

Laporan menyatakan pemberontak bagaimanapun dilihat meneruskan pergerakan, kebanyakannya membawa senapang AK-47.

“Kami datang ke sini dengan Kalashnikov. Kami tidak mempunyai kereta kebal, tetapi mereka menembak kami dengan bom dan roket,” kata seorang pemberontak Ayman Bursi.
Sementara itu kereta kebal tentera kerajaan dilaporkan semakin menghampiri bandaraya Zawiyah semalam, manakala pasukan penembak curi mereka, menembak apa saja yang bergerak, lapor penduduk.

Saksi melaporkan, mayat masih bergelimpangan di kawasan runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan dari udara awal minggu ini manakala jalan raya di bandar dengan 290,000 penduduk ini kosong.

“Kami melihat kereta kebal dan ia berada hampir di mana saja,” kata pejuang kepada wartawan Reuters melalui telefon di Zawiyah.

Beliau berkata medan utama Zawiyah masih dikuasai pemberontak, tetapi pasukan kerajaan hanya kira-kira 1,500 meter dari kedudukan mereka.

Di bandar pelabuhan minyak Es Sider pula, pasukan pemberontak melaporkan mereka berada diserang hebat dengan kereta kebal oleh tentera kerajaan yang dibalas dengan serangan menggunakan pelancar roket.

“Serangan sungguh sengit, sehingga menyebabkan pemberontak terpaksa meninggalkan Es Sider.

“Bagaimanapun mereka berjaya menawan bandar itu semula tidak lama kemudian,” kata saksi.

Berita Harian/-

Tiada ulasan: