14 Mac 2011

Rakyat kita di Jepun selamat

09 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

KOTA KINABALU: Semua rakyat Malaysia termasuk pelajar di Jepun, selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan berikutan kejadian gempa bumi dan tsunami yang berlaku di negara itu, Jumaat lalu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata laporan terkini yang diterima Wisma Putra juga menunjukkan semua rakyat Malaysia sudah dipindahkan ke kawasan selamat seperti ditetapkan pihak berkuasa Jepun.

Katanya, sehingga jam 1.30 tengah hari waktu Malaysia semalam, seramai 544 rakyat Malaysia di Jepun yang berada di beberapa kawasan paling teruk dilanda gempa bumi dan tsunami juga berjaya dihubungi Kedutaan Malaysia di Tokyo.

"Bilangan itu membabitkan mereka yang berada di kawasan paling teruk dilanda gempa bumi dan tsunami termasuk di Miyagi, Fukushima, Iwate, Tochigi, Ibaraki, Chiba dan Saitima yang terletak di timur laut Jepun.

"Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang memantau situasi dan mengambil tindakan susulan sewajarnya dengan menghubungi semua rakyat Malaysia di negara itu dan ia dilakukan sebaik berlaku gempa bumi Jumaat lalu.

"Kerajaan juga belum bercadang membawa pulang rakyat Malaysia di Jepun," katanya pada sidang media, di sini semalam.

Berdasarkan rekod Kedutaan Malaysia di Tokyo, seramai 5,009 rakyat Malaysia berdaftar di Jepun termasuk pelajar.

Beliau berkata, Kerajaan Jepun juga berterima kasih dengan komitmen Malaysia untuk menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu mencari serta menyelamat mangsa bencana.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Jepun mengesahkan setakat ini mereka tidak memerlukan pertolongan tambahan untuk mencari dan menyelamat mangsa bencana.

Mengulas keadaan di Yaman, Anifah berkata, kerajaan mungkin membawa balik 443 rakyat Malaysia di negara itu berikutan situasi semakin kritikal khususnya di Sana'a.

"Kementerian sudah bermesyuarat dengan Majlis Keselamatan Negara bersama Wisma Putra petang semalam, dan kita mendapati usaha membawa pulang perlu.

"Kita sudah menghantar nota kepada Perdana Menteri selepas mesyuarat dan keputusan akan dibuat selepas berhubung dengan Perdana Menteri," katanya.

Berita Harian/-

Tiada ulasan: