08 April 2011

Awasi telur tiruan di pasaran

04 Jamadilawwal 1432H. [MOD] -

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan pengguna di Malaysia supaya berhati-hati ketika membeli telur kerana terdapat telur tiruan dijual di pasaran.

Pagi ini, seorang pengguna datang ke pejabat CAP bersama sedulang telur yang agak luar biasa bentuknya. Menurut beliau, apabila dimasak, telur itu tidak berbau seperti telur biasa dan tidak mempunyai sebarang rasa.

Oleh kerana beliau berasa ragu-ragu dengan kandungan telur yang dibelinya itu, beliau membawa telur-telur tersebut ke pejabat CAP dan terus membuat aduan mengenainya.

Selepas diperiksa, kami mendapati memang benar telur-telur tersebut mempunyai bentuk yang berbeza daripada biasa. Ia besar dan bila dipecahkan tidak kelihatan pusat telur (chalazae - bahan legap yang biasanya terdapat pada putih telur, membendung kuning telur pada bahagian tengah telur).

Telur-telur itu juga tidak berbau seperti telur biasa. Mengikut satu laporan, telur tiruan adalah perkara biasa di China. Pengguna di negara itu telah dinasihatkan supaya mengawasi telur tiruan ketika mereka hendak membeli telur.

Mengikut laporan tersebut, telur tiruan mengandungi bahan-bahan kimia. Cangkerangnya diperbuat daripada kalsium karbonat. Kuning telur dan putih telur diperbuat daripada natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna makanan. Kuning telur dihasilkan hanya dengan mencampurkan pewarna makanan kuning lemon ke dalam adunannya.

Kalsium klorida ditambah ke dalam adunan telur dan kemudian ke dalam acuan untuk menghasilkan membran telur. Cangkerang telur diperbuat dengan lilin parafin, serbuk gypsum, kalsium karbonat dan bahan-bahan lain.

Pada amnya bahan-bahan ini adalah penambah makanan tetapi dalam menghasilkan telur tiruan, ia menjadi komponen utama. Oleh itu telur tiruan hanya mempunyai sedikit atau tidak langsung berkhasiat berbanding telur sebenar.

Cara mengenal telur tiruan:

Selepas telur dipecahkan, putih telur dan kuning telur akan segera bercampur.

Cangkerang telur tiruan agak berkilat berbanding telur sebenar, tetapi tidak begitu ketara.

Apabila disentuh dengan tangan, ia terasa agak kasar berbanding telur sebenar.

Apabila telur tiruan digoncang ia akan berbunyi kerana air berlebihan daripada bahan pepejal.

Telur sebenar agak berbau seperti daging mentah.

Ketuk-ketuk sedikit telur itu. Telur sebenar berbunyi lebih rapuh berbanding telur tiruan.

Selepas memecahkan telur tiruan, kuning telur dan putih telur akan cair bersama. Ini disebabkan kuning telur dan putih telur dihasilkan daripada bahan mentah yang sama.

Ketika menggoreng telur tiruan, kuning telur akan mengembang tanpa disentuh.

Telur adalah sumber protein yang murah dan dimakan oleh penduduk Malaysia. Memandangkan ia merupakan makanan kegemaran ramai, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa supaya menjalankan siasatan dengan segera berhubung isu telur tiruan ini.

Tambahan pula, telur tiruan mungkin mengandungi gelatin yang Haram dimakan oleh orang Islam.

SM Mohamed Idris,

Presiden CAP.

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

negara cina mmg top dgn barang2 klon sampai makanan pon dia nk klon kemajuan yg ada digunakan pada perkara yg salah renung2kan lah

Dasril Iteza berkata...

semuanya harus waspada....

Tanpa Nama berkata...

memang telur rata rata byk digunakan dlm masakkan panas,separuh masak maupun dibuat kueh mueh.habislah kalau tidak dikawal,pengguna jarang yg ambil tau hal2 begini,iklankan diakhbar dan tv agar ramai yg tahu,pasti hasilnya tidak bagus dan tidak nampak menarik pada makanan yg dimakan,namun hebahan segera adalah langkah yg paling bagus.wallahuwa'lam

hch hafiz berkata...

makanan pn nk di klon kn susah la.. pk kepentingan diri sendiri je...