26 April 2011

'Dengar suara minta tolong di lokasi guru hilang'

22 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

TAIPING: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang dikerah mengesan guru Sekolah Menengah King Edward VII, Abdullah Zubair Ismail, 27, yang dilaporkan hilang selepas mendaki Bukit Larut di sini, pagi kelmarin, mendengar suara orang meminta tolong namun tidak menemui sesiapapun di lokasi suara itu kedengaran.

Empat belas anggota SAR yang terdiri daripada anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Taiping menyertai operasi itu bermula jam 10 pagi semalam, namun tidak menemuinya sehingga jam 6 petang semalam.

Mangsa yang berasal dari Alor Setar, Kedah dan sudah setahun setengah mengajar di sekolah itu dikatakan mendaki bukit peranginan berkenaan bersendirian kira-kira jam 10 pagi kelmarin tetapi tidak pulang selepas itu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata kehilangan Abdullah Zubair dilaporkan rakannya selepas gagal menghubungi telefon bimbit mangsa sebelum ke kaki Bukit Larut pagi semalam dan terkejut menemui kereta mangsa masih berada di tempat letak kenderaan di situ.

“Selepas menyedari kemungkinan sesuatu perkara buruk berlaku, rakan mangsa memaklumkan kejadian itu kepada polis. Berikutan laporan itu satu pasukan SAR ditubuhkan untuk mengesan mangsa.

“Ketika melakukan operasi, mereka mendengar suara mangsa meminta tolong di lokasi tertentu tetapi apabila tiba ke lokasi itu, mangsa tiada di situ. Jika keadaan ini berterusan kita kena ambil ikhtiar lain untuk menyelamatkannya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Yusuf berkata, pihaknya juga akan menggunakan khidmat unit anjing pengesan (K9) bagi mengesan mangsa dan tidak menolak kemungkinan meminta bantuan Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika mangsa masih gagal ditemui hari ini.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung mangsa diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di talian 05-8080222.

Berita Harian/-

Tiada ulasan: