26 April 2011

Karnival Futsal Teluk Kepayang Meriah

22 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


25 April 2011 - Pakatan Rakyat Parlimen Parit telah berjaya mengadakan sebuah program khas bersama rakyat iaitu "Karnival Futsal Teluk Kepayang." Program yang berlangsung daripada pagi sehingga malam itu merekodkan sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelbagai jenis lapisan masyarakat. Sebanyak 7 pasukan futsal telah berentap untuk merebut gelaran juara.



Ustaz Syah Hakimi menyampaikan hadiah kepada anak muda yang memenangi pertandingan futsal.

Hampir kesemua peserta pertandingan ini adalah dari kalangan anak-anak muda tempatan yang gigih bersaing dari pagi sehingga ke petang tanpa mengira penat dan lelah. Majlis itu telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Parit, Ustaz Mohd Syah Hakimi Syah Alami. Para peserta kelihatan begitu bersemangat dalam perlawanan, memandangkan kejohanan ini menawarkan hadiah-hadiah yang cukup lumayan kepada para pemenang iaitu RM700 (Johan), RM500 (Naib Johan) dan RM200 (Tempat Ke-3). Selain itu, para penonton juga tidak ketinggalan untuk menerima pelbagai jenis hadiah cabutan bertuah, termasuklah hadiah paling eksklusif berupa sebuah kamera digital berjenama.



Ustaz Syah Hakimi memberikan semangat dan motivasi kepada anak muda dan orang ramai yang hadir.

Ketika membuat ucapan perasmian penutup, Ustaz Syah Hakimi menjelaskan bahawa kekuatan sebenar bagi seorang yang bergelar pemuda Islam terletak pada solat subuh berjemaah di masjid. Beliau berharap agar kehebatan fizikal para peserta ini dapat bergerak seiring dengan kehebatan tarbiah dan ibadah seperti solat subuh. Kejayaan penganjuran majlis seperti ini yang yang dapat mengumpulkan ratusan orang ramai juga dilihat sebagai satu kekuatan Pakatan Rakyat Parlimen Parit dan menunjukkan bukti penerimaan dan sokongan rakyat khususnya di Parlimen Parit kepada Pakatan Rakyat. Seluruh warga urusetia dan orang ramai begitu gembira dengan penganjuran program seumpama ini dan berharap agar ia dapat diadakan lagi di masa hadapan.



Antara hadirin yang turut serta pada majlis perasmian penutup.

SU DPP Parit

Tiada ulasan: