25 April 2011

Laporan Kematian Ahmad Sarbani Diserah Kepada Peguam Negara

21 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 25 APRIL : Polis sudah menyerahkan laporan siasatan berhubung kematian pegawai Kastam Ahmad Sarbani Mohamed di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini kepada pejabat Peguam Negara, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"Kami sudah berpuas hati dengan hasil siasatan yang dibuat dan sudah melengkapkannya, kami sudah hantar kepada Pejabat Peguam Negara," katanya.

Menurutnya, walaupun laporan itu ditumpukan kepada siasatan berhubung laporan kematian mengejut, namun polis akan meneruskan lagi siasatan jika diminta.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM itu pada 6 April lalu selepas dilapor ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

BERNAMA.

Tiada ulasan: