10 April 2011

Lelaki Ditikam Sebelum Dibakar

6 Jamadilawal 1432H. [MOD] -


KUALA LUMPUR 10 April – Seorang lelaki ditemui mati dengan kesan tikaman di dada dan lehernya dijerut sebelum dibakar dalam sebuah kereta Honda Civic di Happy Garden, Brickfields, di sini awal pagi ini.

Mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu ditemui seorang lelaki yang kebetulan berada di lokasi tersebut serta menyaksikan kejadian itu pukul 3.30 pagi.

Difahamkan, saksi melihat empat lelaki menaiki kereta Perodua Myvi warna putih memberhentikan kenderaan mereka sebelum salah seorang keluar dan menyimbah sejenis cecair ke arah sebuah kereta Honda Civic.

Kereta Honda Civic itu tiba-tiba terbakar dan keempat-empat suspek melarikan diri sebelum saksi menghubungi pihak berkuasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid memberitahu, keadaan mangsa ketika ditemui rentung 90 peratus.

“Siasatan awal mendapati mangsa ditikam di dada dan lehernya dijerut sebelum dibakar bersama keretanya.

“Mayat yang belum kenal pasti identitinya itu dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, pihak polis sedang memburu empat suspek berkenaan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. 

1 ulasan:

Awanama berkata...

Malaysia tanah air ku kini kian terancam semenjak dua menjak ni, bila pendatang tanpa izin membanjiri negara ini (bermaharajalela) kes-kes jenayah kian bertambah, kes bunuh dah jadi macam kat luar negara silap sikit bunuh, bakar, tembak dan tikam. Bagi rakyat Malaysia yang prihatin merasa amat tertekan dengan keadaan ini.

Apa yang menyedihkan ahli politik BN ni negara ini banyak membincangkan pasal kes liwat, skandal video sex, macam mana nak membangunkan negara dan dok fikir nak naikkan harga barang keperluan serta harga minyak sahaja, masalah rakyat negara ini yang kian tertekan dengan masalah semasa seperti jenayah, kenaikan harga barang keperluan, inflasi di 'bakul sampahkan' sahaja oleh pemimpin BN.

Bila belaku pilihan raya kecil atau besar baru la nampak batang hidung wakil rakyat BN dan bermacam macam janji palsu pun di tabur.