28 April 2011

Prosiding Suruhanjaya Kematian Teoh Beng Hock Ditangguh 3 Mei

24 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR 28 APRIL : Pengerusi Suruhanjaya Siasatan kematian Teoh Beng Hock, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen hari ini menangguhkan prosiding itu ke 3 Mei setelah semua saksi bagi minggu ini selesai memberi keterangan.

Beliau berkata pada prosiding minggu depan, suruhanjaya akan memanggil ADUN Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah dan anggota keluarga Teoh untuk memberi keterangan.

Bercakap kepada pemberita di luar bilik suruhanjaya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur Jalan Duta di sini hari ini, Foong berkata beliau berharap suruhanjaya dapat menyelesaikan siasatan kematian Teoh dalam minggu depan.

Namun, katanya sekiranya saksi belum selesai memberi keterangan, suruhanjaya akan dilanjutkan seperti yang telah ditetapkan iaitu pada 25 Jun depan.

Seramai 18 saksi yang terdiri daripada 15 pegawai SPRM dan tiga pegawai syarikat telekomunikasi telah dipanggil memberi keterangan bermula Isnin lepas (25 April).

Sementara itu, adik perempuan Teoh iaitu Lee Lan, yang hadir pada prosiding itu kerana menemani rakan mendiang, Mandy Ooi memberitahu pemberita beliau tidak berpuas hati dengan pihak suruhanjaya kerana tidak menyatakan mengapa bapanya, Teoh Leong Hwee perlu hadir untuk memberi keterangan dalam prosiding suruhanjaya pada 4 Mei ini.

"Kenapa bapa saya perlu memberi keterangan dalam suruhanjaya sedangkan beliau telah ditemu bual oleh pakar psikiatri secara tertutup di sebuah bilik di kompleks mahkamah di sini, pada 15 April lepas.

"Bapa saya juga terpaksa datang jauh dari Melaka ke Kuala Lumpur dan saksi-saksi seperti kami bukannya 24 jam perlu bersedia untuk datang ke suruhanjaya kerana kami perlu mengambil cuti," katanya kepada pemberita dalam bahasa Mandarin ketika ditemui di luar bilik suruhanjaya.

Mandy, yang merupakan bekas rakan sekerja Teoh di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, sepatutnya memberi keterangan di suruhanjaya hari ini tetapi diminta untuk memberi keterangan pada minggu hadapan.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S. Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, serta Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: