03 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
Hafizi Pauzi
PARIT BUNTAR, 7 Mei: Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim berkata jihad perangi rasuah yang lancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin baru-baru ini adalah kenyataan berunsur politik dan pembohongan baru demi mengembalikan sokongan rakyat kepada BN.
Muhyiddin dipetik sebagai berkata untuk memerangi rasuah secara menyeluruh, sewajarnya gejala ini dibendung sehingga ke akar umbi.
“Rakyat tidak akan lupa dengan bukti berupa dokumen mengenai komisen RM400 juta pembelian pesawat dari Russia, Sukhoi yang diberi kepada bekas Setiausaha Agung Umno dan komisen sejumlah RM520 juta (100 juta Euro) kepada Abdul Razak dalam pembelian dua kapal selam untuk Kementerian Pertahanan,” kata Idham ketika ditemui di sini.
Tambahnya, BN berbohong kepada rakyat untuk berusaha memerangi amalan rasuah dengan jihad dan mengaku ia merupakan prioriti BN sedangkan ianya adalah omongan kosong semata-mata.
Beliau yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak menegaskan rakyat perlu didedahkan dengan rasuah besar yang berlaku dalam negara oleh BN di mana perjanjian pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai berbilion dollar itu dimeterai oleh Datuk Seri Najib sendiri selaku Menteri Pertahanan pada 2002.
“Pembelian dua kapal selam itu jelas wujud elemen rasuah, dan hingga hari ini Najib masih belum membersihkan namanya dari tuduhan kemungkinan wujud rasuah berjumlah RM520 juta untuk dua kapal selam tersebut,” katanya yang juga Adun Titi Serong.
Katanya, Umno BN adalah sinonim dengan amalan rasuah yang diketahui umum oleh rakyat, tetapi bersorak kepada rakyat bahawa mereka pejuang sejati menentang rasuah.
Beliau menambah, walaupun tidak dinafikan tindakan dilakukan kepada pengamal rasuh namun biasanya yang akan ditangkap kemudian dibicara adalah rasuah yang bernilai ribuan ringgit.
“Amat malang di negara ini apabila kes rasuah yang melibatkan pemimpin dalam BN bernilai ratusan juta dibiarkan begitu sahaja.
“Saya yakin rakyat tidak semudahnya boleh menerima pembohongan dari pimpinan tertinggi negara dalam isu ini. Rakyat perlu bijak menilai perbuatan pemimpin BN yang sentiasa berlakon dan berhelah untuk menipu rakyat,” ujarnya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan