23 Mei 2011

Royalti: Gegar sasar 160,000 referendum

20 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



KOTA BHARU, 23 Mei: Perjuangan aktivis Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) kini mendapat sokongan meluas rakyat Kelantan, biar pun mereka berdepan ugutan samseng Umno.

Sehingga kini lebih 30,000 penduduk menurunkan tandatangan sebagai sokongan terhadap perjuangan menuntut royalti minyak.

Referendum rakyat ditandatangani di atas kain putih sepanjang 350 meter dilancarkan pada Perhimpunan 10 ribu anak muda sempena munajat yang diadakan di Padang Perdana Jumaat lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, sebanyak mungkin referendum rakyat dikumpul bagi menuntut royalti minyak.

“Kita akan angkut referendum tersebut menggunakan dua lori untuk dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai desakan supaya royalti minyak diberi.

“Rakyat Kelantan tidak boleh berdiam diri dengan penganiayaan yang berlaku. Kalau Terengganu mendapat royalti tiada sebab negeri ini diketepikan.

”Kalau hendak dikira jarak pelantar minyak di Terengganu juga lebih 3 batu nautika sama seperti telaga minyak di Kelantan. Mengapa pula negeri ini dinafikan hak,” katanya di sini.

Difahamkan Gegar mensasarkan sebanyak 10 peratus daripada jumlah penduduk Kelantan iaitu 160,000 referendum dikumpul sebagai menyatakan sokongan rakyat terhadap perjuangan menuntut royalti minyak.

Gegar memulakan program jelajah ke seluruh kawasan Dun di negeri ini bagi mengumpul referendum tersebut.

Usaha menuntut royalti minyak mulai digerakkan ketika berlangsung kempen pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai 2009.

Kemuncaknya pada awal 2010 diadakan ceramah perdana penjelasan isu royalti minyak di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV yang turut dihadiri pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Selepas itu kerajaan negeri dan Gegar juga mengadakan munajat di Mekah bagi memohon diberi royalti minyak.

Selain itu Kerajaan Kelantan juga memfail kes tuntutan royalti di bahagian dagang Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap Petronas.

Kelantan menuntut bayaran royalti terhadap operasi carigali minyak di perairannya terletak di kawasan 150 batu nautika yang kini dibangunkan secara bersama Malaysia-Thailand sejak 1979.

Selepas pelbagai usaha dilakukan bagi menuntut royalti, isu berkenaan sepi seketika, namun minggu lepas meletup kembali selepas seorang aktivisnya, Hishamuddin Ghazali dipukul seorang veteran Umno.

Sebanyak tiga laporan polis dibuat Hisyamuddin dan Gegar terhadap lelaki terbabit dipercayai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan tinggal di Kampung Sireh.

Sementara itu jawatankuasa pengurusan Masjid Kampung Sireh menjelaskan lelaki yang disyaki memukul aktivis Gegar bukan anggota jawatankuasa masjid terbabit.

Seorang jawatankuasanya, Mohd Nasir Derahman, 49 berkata, lelaki terbabit biar pun tinggal di Kampung Sireh, namun bukan anggota jawatankuasa masjid seperti disebarkan pihak tertentu sebelum ini.

”Lelaki itu tidak ada kena mengena dengan pihak pengurusan masjid. Segala dakwaan mengaitkan tindakannya dikatakan memukul aktivis Gegar dengan masjid tidak betul sama sekali,” katanya di sini.

Difahamkan juga JKKKP tersebut merupakan orang kuat kepada pemimpin Umno Kota Bharu kini masih bebas tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Hishamuddin berkata, Gegar tetap akan memfail saman terhadap lelaki yang memukulnya bagi mengelakkan kes serupa berulang dan sebagai pengajaran kepada semua pihak.

Tiada ulasan: