23 Mei 2011

PAS jalin hubungan dengan parti politik Ikhwan

20 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 23 Mei: Murshid Ikhwan Muslimin, Dr Mohamed Al-Badie’ hari ini telah menghantar ucapan tahniah serta doa kepada Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana terus diberi kepercayaan oleh ahli untuk terus memimpin PAS menjelang Muktamar PAS Ke-57, Jun ini.

Pernyataan itu disuarakan oleh beliau ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi di pejabat baru beliau di Kaherah (gambar), bagi memenuhi jemputan menghadiri perasmian Markaz Al-Am Ikhwan Muslimin atau ibu pejabat Ikhwan Muslimin setinggi 7 tingkat yang berdiri megah di tengah-tengah kota Kaherah.

Dalam pertemuan tersebut, Dr Al-Badie’ juga menegaskan bahawa Ikhwan Muslimin komited dengan perubahan politik baru Mesir dan kini sedang mengatur persiapan bagi menghadapi pilihan raya.

Menurut beliau, Ikhwan akan terus komited membela kepentingan rakyat Mesir dan sama-sama membangunkan kembali negara yang telah dimusnahkan oleh rejim Mubarak yang bukan sahaja rakus membolot khazanah kekayaan negara, tetapi juga menafikan hak asasi rakyat Mesir dengan melakukan pelbagai bentuk kekejaman dan kezaliman.

Bagi beliau, perkembangan tersebut sejajar dengan nafas dan udara kebebasan yang dapat dirasakan dengan baik di seluruh Mesir kini, setelah rakyat berjaya menumbangkan rejim Mubarak dengan revolusi rakyat 25 Februari lalu.

"Ikhwan Muslimin akan terus berjuang serta komited kepada penglibatan secara demokratik untuk mewujudkan suasana politik baru Mesir yang lebih telus dan adil," katanya.

Beliau juga menegaskan, Ikhwan tetap mengambil sikap untuk terus berdialog dengan kerajaan sementara yang mentadbir Mesir selepas kejatuhan rejim Mubarak serta dengan kuasa besar Barat khususnya Amerika Syarikat dan Britain.

Ikhwan bertekad untuk melakukan perubahan sosial dan politik di Mesir secara aman dan merubah sebarang bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku di negara itu.

Bagi Ikhwan, agenda reformasi politik di Mesir adalah amat penting bersesuaian dengan suasana globalisasi dunia yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan telus.

Beliau menegaskan bahawa setiap rakyat dan warganegara mempunyai hak mereka untuk bersuara demi kebaikan serta masa depan negara tersebut.

Menurut Dr Syed Azman, dalam pertemuan itu, beliau telah menyampaikan ucapan tahniah daripada seluruh kepimpinan, ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS kepada pimpinan Ikhwan yang telah berjaya membuka pejabat baru yang tersergam indah, walaupun hanya baru selepas 3 bulan kejatuhan rejim diktator Mubarak.

"PAS akan terus komited menjalinkan hubungan dua hala yang lebih rapat dengan parti politik baru Ikhwan ‘Al-Hurriyat Wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan Keadilan) dan akan bertukar-tukar pengalaman dalam proses demokrasi dan pilihanraya,” jelasnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Dalam pertemuan tersebut, Dr Syed Azman juga tidak lupa melahirkan rasa gembira seluruh rakyat Malaysia melihat perkembangan yang berlaku di Mesir kini.

"Ia turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia bagi memperjuangkan hak dan kebebasan mereka dan bangkit dengan ‘Kuasa Rakyat’, bersesuaian dengan ciri-ciri demokrasi yang sedang diamalkan di Malaysia," tegas beliau yang juga Adun Batu Buruk.

Harakahdaily/-
Oleh : Aziz Muda

Tiada ulasan: