09 Mei 2011

Datang gempa bumi baru nak berubah?

06 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 9 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang berbicara tentang perubahan sempat bertamsil; jika tanah tidak berubah dengan cangkul, ia akan berubah dengan banjir atau jika tidak mahu juga, ia akan berubah gempa bumi.

“Adakah rakyat mahu menunggu datangnya gempa bumi, baru hendak berubah?” soalnya ketika berucap merasmikan Hari Pekerja peringkat PAS Pusat di Dataran Bazarena Stadium Shah Alam, semalam.

Tambahnya, rakyat mesti ingat, jika tidak mahu berubah ikut cara biasa, bila berlaku gempa bumi, ia akan telan semua sekali termasuk Putrajaya.

Sehubungan itu, beliau terus meyakinkan rakyat tentang usaha mengurangkan bebanan hidup dan menambahkan kebajikan mereka boleh dilaksanakan dengan syarat hasil negara tidak bocor.

Beliau berkata, negara ini mempunyai sumber kekayaan yang mencukupi untuk membiayai kebajikan semua rakyat asalkan amalan rasuah dihapuskan sepenuhnya.

Turut berucap adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani, Exco Kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali dan Pengerusi Lajnah Pekerja PAS Pusat, Anuar Tahir.

Dalam pada itu, Ustaz Abdul Hadi berkata, semua janji yang terdapat di dalam Buku Jingga bukan janji kosong kerana sebahagiannya sudah dibuat di Kelantan dan Terengganu ketika PAS memerintah termasuk di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Meskipun, program dalam buku jingga itu memerlukan berpuluh bilion ringgit namun negara mempunyai sumber lain yang boleh menampung dalam usaha menunaikan kebajikan rakyat.

"Sebagai contoh, PAS telah menghapuskan tol, cukai pintu dan lesen peniaga-peniaga kecil ketika memerintah Terengganu kerana ketika itu negeri mempunyai sumber royalti minyak.

"Kemudian kerana khianat BN menafikan royalti minyak kepada rakyat Terengganu, namun kerajaan negeri di bawah PAS ketika itu tetap laksanakan program kebajikan rakyat.

"Kerajaan menaikkan cukai orang kaya, cukai barangan di masa sama, tiada cukai terhadap orang miskin, ini boleh dilaksanakan dengan mudah," tegasnya lagi.

Namun kini, jelasnya, BN tidak naikkan cukai orang kaya dan korporat kerana sebahagian besar golongan itu banyak membantu BN di dalam usaha mengekal kuasa politik mereka.

"Boleh buat sebenarnya namun rakyat diperbodohkan, boleh buat senang sahaja, tunaikan amanah," tambahnya di hadapan hadirin dan ribuan pengunjung lalu lalang di seputar program.

Seusai majlis perasmian, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berjalan bertemu dengan sebahagian daripada lebih 700 peniaga berbagai jenis jualan di setiap hari minggu.

Semua golongan anggota masyarakat kelihatan teruja dengan kesudian Presiden PAS menemui mereka dan menyantuni semua kalangan rakyat termasuk orang cacat dan kanak-kanak.

Dalam ucapannya juga, Ustaz Abdul Hadi menyatakan kaedah Islam jika memerintah negara lain tidak memunggah hasil sesebuah negara itu dibawa ke pusat selagi tidak selesai masalah di daerah dan negara itu.

"Inilah catatan sejarah yang menyebutkan ketika Islam memerintah Parsi, Rom dan Utara Afrika, kerajaan menyelesaikan masalah rakyat negeri terlebih dahulu.

"Tindakan ini menyebabkan orang bukan Islam masuk Islam dan lebih rela berada di bawah kerajaan Islam kerana semua rukun hidup dipercumakan," jelasnya.

Menurutnya, ia boleh dilaksanakan kerana Thailand boleh lakukan dengan tiada bayaran cukai jalan untuk kenderaan dan tol di jalan raya kerana mereka mempunyai sumber-sumber lain.

Tambahnya, di Britain sekarang ini setiap bayi yang baharu lahir diberikan wang susu mereka dan orang tua diberikan wang sara hidup termasuk mereka yang mengganggur.

Dengan syarat tiada rasuah dan kendalikan sumber negara dengan betul, pasti ia boleh selesaikan banyak masalah rakyat dalam negara ini, jelasnya.

Beliau juga menyatakan perasaan sedihnya kerana rakyat negara ini ditipu sejak sekian lama tetapi tidak berani melakukan perubahan dengan menukarkan kerajaan dengan pemimpin lebih baik.

"Di negara lain jika pemerintah buat silap, rakyat berani buat perubahan namun di negara kita buatlah kesilapan beratus kali pun, rakyat tetap tidak berani buat perubahan.

"Pemikiran sebahagian rakyat jadi beku seperti berada dalam peti ais namun begitu Allah tetap akan lakukan perubahan juga akhirnya," jelasnya.

Ismail Hashim

Tiada ulasan: