06 Mei 2011

Guna Segala 'senjata' Tawan Selangor Semula - Najib

02 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 6 MEI : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilaporkan menggesa UMNO Selangor menggunakan segala 'senjata' yang ada dinegeri itu bagi merampas kembali Selangor daripada pentadbiran Pakatan Rakyat.

Beliau dipetik berkata demikian ketika berucap di 'Malam Pemimpin Bersama Rakyat- Rakyat Didahulukan' di Shah Alam, malam semalam.

"Kalau British kita boleh kalahkan kerana kita berjuang berhabis-habiskan, takkan lah Umno Selangor tidak boleh bangkit dari peristiwa itu (kekalahan pada pilihan raya umum lalu).

"Segala kekurangan dan kezaliman kerajaan negeri hari ini di Selangor mesti diperbetulkan," katanya.

Najib juga meminta agar UMNO Selangor melupakan kekalahan pada pilihan raya umum 2008 dan bangkit merampas negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke- 13 kelak.

"Kita tidak harus membiarkan maruah parti terus tercemar dan tercalar dengan terus bersedih kerana kekalahan lepas.

"Kita juga tidak boleh terus terbawa-bawa dengan kesedihan, kehilangan keyakinan kita, sebaliknya kita mesti menyusun semula barisan, kuatkan iltizam dan semangat juang serta bangkit menebus kekalahan dengan semangat juang yang tidak tahu erti kalah," katanya.

Tv Selangor/-




Tiada ulasan: