27 Mei 2011

MB Kedah tarik diri

24 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR - Teka-teki sama ada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan bertanding jawatan Timbalan Presiden setelah mendapat pencalonan kini terjawab apabila beliau mengesahkan untuk menarik diri, semalam.

Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, beliau memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding kedua-dua jawatan yang dicalonkan, iaitu Timbalan Presiden dan Naib Presiden setelah meneliti beberapa faktor.

“Saya percaya penarikan diri saya untuk bertanding jawatan nombor dua parti, termasuk Naib, membolehkan saya memberi tumpuan pada pentadbiran negeri dan kebajikan rakyat,” katanya.

Menurutnya, bagaimana pun, beliau bersedia bertanding bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, yang disandangnya sebelum ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Pas kawasan yang telah mencalonkan saya untuk kedua-dua jawatan itu, namun setelah buat pertimbangan sewajarnya, saya fikir eloklah saya tumpu pada negeri memandangkan Pilihan Raya Umum juga bakal menjelang,” katanya.

Dengan penarikan diri Azizan itu, pemilihan pada Muktamar Tahunan Pas ke-57, Jun depan bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan nombor dua, apabila naib presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kelmarin, mengumumkan akan bertanding setelah mendapat pencalonan memberangsangkan.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu dan penyandangnya, Nasharudin Mat Isa antara yang terawal mengesahkan akan bertanding, manakala Datuk Husam Musa dan Salahuddin Ayub turut menarik diri daripada bertanding.

Sinar Harian/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

t kasih ustaz. teruskan perjuangan