29 Mei 2011

NATO terus bom Tripoli

26 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -


SEORANG penyokong Muammar Gaddafi mengibar bendera Libya dan gambar Gaddafi di Tripoli.

TRIPOLI - Jet-jet pejuang Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) melancarkan serangan udara pada waktu siang keatas ibu kota Libya di sini semalam selepas mengebom bandar raya berkenaan selama lima malam berturut-turut.

Serangan itu dilakukan untuk meningkatkan tekanan terhadap Muammar Gaddafi supaya berundur selepas 41 tahun beliau memerintah Libya.

Serangan waktu siang itu menyebabkan satu letupan kuat di sini tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia disebabkan oleh bom atau peluru berpandu.

Kelmarin, NATO mengebom beberapa kawasan di bandar raya ini terutamanya kompleks kediaman Gaddafi di Bab Al-Aziziah.

Dalam perkembangan berkaitan, NATO menyatakan, ia bersedia menghantar helikopter-helikopter tempur ke Libya bagi menghapuskan tentera Gaddafi yang masih setia.

"Terdapat tanda-tanda bahawa momentum terhadap Gaddafi kini semakin meningkat. Kami sedang memperhebatkan tekanan politik, ekonomi dan ketenteraan bagi memastikan beliau disingkirkan," kata Perdana Menteri Britain, David Cameron pada sidang kemuncak negara Kumpulan Lapan (G8) di Perancis.

Ketegasan Cameron dalam menangani krisis politik Libya turut disokong Presiden Rusia, Dmitry Medvedev yang menyatakan, Gaddafi tidak lagi berhak memerintah Libya.

NATO menguatkuasakan zon larangan terbang keatas Libya pada 24 Mac lalu bagi melindungi orang awam daripada menjadi mangsa serangan tentera Gaddafi.

Rakyat Libya bangkit menentang pemimpin berusia 68 tahun itu pada Februari lalu kerana menuntut pembaharuan demokrasi dan ekonomi. 

Reuters

Tiada ulasan: