22 Mei 2011

PRU 13: Umno Pulau Pinang bakal hilang kerusi

19 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



BAYAN LEPAS, 22 Mei: Umno dan Barisan Nasional (BN) jangan bermimpi untuk merampas kembali Pulau Pinang dari Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum yang akan datang.

“Rakyat negeri ini telah celik dan sedar selama ini mereka telah dibohongi oleh parti pemerintah sebelum 2008,” kata Exco Kerajaan Negeri, Abdul Malik Abul Kassim pada majlis jamuan teh di padang awam, Permatang Damar Laut, petang semalam.

Menurutnya, PR bukan saja mampu mengekalkan kedudukan 29 kerusi yang telah berjaya dirampas dalam pilihan raya umum ke-12 yang lalu, sebaliknya yakin boleh membolos kawasan yang menjadi kubu kuat Umno dan BN dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.

"Kita telah membuat kajian dan penyelidikan mengenai kedudukan kerusi-kerusi yang mampu dimenangi dan ditawan oleh PR dalam pilihan raya yang akan datang.

"Berdasarkan kepada percaturan yang dibuat, PR yakin bukan saja 29 kerusi yang ada dikekalkan milik PKR, PAS dan DAP, sebaliknya kerusi-kerusi Umno yang sudah tidak layak diterajui oleh mereka akan jatuh ke tangan PR," tegasnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung, tidak menolak kemungkinan ini berdasarkan kepada kenyataan sedia ada, di mana rakyat semakin condong untuk menyokong PR jika dibezakan dengan BN.

"Hentakan, serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh Umno dan BN terhadap PR menyebabkan rakyat semakin menolak mereka. Dasar perkauman yang bersifat cauvanis diamalkan oleh BN memberi impak yang negatif kepada mereka.

"Umno dan BN menyedari hakikat penolakan rakyat di Pulau Pinang terhadap kepimpinan mereka, tetapi ia cuba dinafikan melalui provokasi yang dilakukan melalui pelbagai elemen, semata-mata untuk mengkaburkan pandangan rakyat," ujarnya lagi.

Malah katanya, niat Umno dan BN tidak akan kesampaian selagi kepimpinan PR mengamalkan sistem pentadbiran berdasarkan kepada amalan cekap, akauntabiliti dan telus (CAT).

Tiada ulasan: