25 Mei 2011

Sijil Halal : Kerajaan Digesa Ambil Langkah Komprehensif

22 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA 25 MEI : Institut Penyelidikan Produk Halal Universiti Putra Malaysia (UPM) menggesa kerajaan mengambil tindakan komprehensif mewajibkan setiap pembekal menyediakan butiran ramuan atau bahan mentah yang digunakan supaya masalah kewujudan komponen bertentangan dengan Islam, sama ada yang dilakukan secara sengaja ataupun tidak sengaja, dapat dielakkan sambil mengakui wujudnya kelemahan dalam keberkesanan proses mematuhi peraturan sijil halal.

Ketua makmal UPM Dzulkifly Mat Hashim berkata, masalah kewujudan bahan-bahan tidak halal adalah disebabkan oleh faktor luar pengetahuan penyedia perkhidmatan atau produk terakhir itu sendiri.

“Dalam kes serbuk kopi (di Kluang sebagai contoh), pada pandangan peribadi saya, mungkin kes ini wujud kerana tiadanya pengetahuan atau di luar pengetahuan pemilik kafe,” katanya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja pada Simposium 2011: Total Agilent Experience.

“(Oleh itu) kerajaan perlu mengkaji untuk mengambil satu tindakan komprehensif dalam hal ini, bermula dengan pendidikan, kempen kesedaran, bantuan kewangan dan sebagainya sebelum menguatkuasakan undang-undang,” ujarnya.

Jelasnya lagi, 80 hingga 90 peratus ramuan sesuatu produk makanan dan bukan makanan seperti kosmetik datang dari luar negara, maka sukar untuk penyedia perkhidmatan atau produk akhir memastikan atau mengetahui seratus-peratus kandungannya.

“Jadi, dalam perkara ini perlu ada kerjasama antara penyedia produk akhir dan pembekal bahan-bahan mentah kerana ia melibatkan satu rangkaian proses yang panjang,” katanya.

Ujarnya lagi, kini tiada peruntukan yang mewajibkan perkara itu.

Bagaimanapun rang undang-undang halal yang sedang digubal dilihat akan membantu mengatasi masalah tersebut.

Pada April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata undang-undang baru yang digubal untuk memperkemaskan lagi industri halal negara akan memberi lebih kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menguat kuasa penggunaan dan pengeluaran logo halal di negara ini.

“Akta itu akan meliputi tindakan undang-undang dan penguatkuasaan kerana dulu tidak boleh ambil tindakan kepada mana-mana individu, syarikat swasta atau mana-mana syarikat luar yang mengeluarkan sijil kerana peruntukannya tidak diperkemaskan,” katanya.

Semalam, Pemuda Umno menggesa kerajaan membekukan proses kelulusan permohonan persijilan halal oleh Jakim dan kesemua agensi agama negeri ekoran kes-kes ketidakpematuhan sejak kebelakangan ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu perlu sehingga satu proses pengauditan komprehensif oleh sebuah badan bebas terhadap proses kelulusan permohonan persijilan halal oleh agensi-agensi berkaitan selesai.

Baru-baru ini, Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia juga telah membuat pendedahan mengenai DNA babi dalam bahan ramuan Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd.

Bahkan, kejutan berganda menyusur dengan dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bahawa bahan-bahan tersebut dikatakan digunakan oleh sebuah rangkaian kedai francais makanan yang terkenal di Malaysia dengan langganan ramai dari masyarakat Islam.

Mengulas lanjut kes di Kluang baru-baru ini, bahawa siapa yang harus dipersalahkan kerana pemiliknya dikatakan memiliki sijil halal, Dzulkifly berkata, oleh kerana kes itu sudah dibawa ke mahkamah maka pihak berkuasa kehakimanlah yang perlu menentukan perkara tersebut.

Bagaimanapun katanya, ia perlu diteliti secara kes demi kes dengan melihat pada “beban kewajaran.”

“Sama ada seseorang itu memasukan bahan yang dilarang secara sengaja atau tidak sengaja dan sebagainya,” kata beliau yang turut berpendapat bahawa masalah itu boleh diatasi jika ada langkah menggunakan analisis saintifik sebagaimana dilakukan pihaknya dan proses dokumentasi yang tersusun mengenai ramuan dalam sesuatu bahan yang digunakan.

Justeru, Dzulkifly mencadangkan kerajaan supaya menambah pusat-pusat analisis makanan halal memandangkan banyak pihak berminat untuk melakukannya dan beliau yakin masalah yang disaksikan sekarang boleh diatasi dalam tempoh empat tahun sahaja.

“Pada pandangan saya, saya berharap masalah-masalah wujudnya ketidakpematuhan keperluan sijil halal boleh diatasi dalam tempoh sebelum berakhirnya RMK-10... itu harapan saya.

“Jika boleh dilakukan jika kerajaan iltizam politik di pihak kerajaan dengan mengadakan pelbagai langkah, saya yakin ia boleh dicapai dengan cepat,” katanya.

Institut Penyelidikan Produk Halal UPM mula menjalankan ujian saintifik sejak setahun lalu dan mempunyai kapasiti melakukan 6,000 analisis dalam setahun.

Tv Selangor/-

Tiada ulasan: