25 Mei 2011

PAS tidak gila kuasa

22 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 25 Mei: PAS tidak boleh bersama Umno BN jika serius mahu membuat perubahan dalam masyarakat, kata ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Bercakap dalam forum 'Melakar Masa Depan PAS' di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLCAH) malam tadi, beliau berkata, PAS bukan "gila kuasa" seperti yang didakwa Umno BN.

Katanya, Umno BN sebelum ini sering menuduh PAS gila kuasa sehingga dianggap bekerjasama dengan DAP, parti bukan Islam.

Sebaliknya kata Khalid, jika benar PAS ingin berkuasa, mereka akan memilih untuk bersama-sama dengan Umno kerana mereka yang dilihat lebih berkuasa di negara ini.

"Orang Umno selalu kutuk PAS. Dia kata PAS kemaruk kuasa sampai sanggup bersekongkol dengan DAP. Kalau kita kemaruk kuasa kita tak bersekongkol dengan DAP, kita bersekongkol dengan Umno kerana Umno yang berkuasa.

"Tapi kerana kita memahami perjuangan ini bukan nak dapat kuasa tapi nak ubah pemikiran masyarakat, jadi kita tak boleh bersama dengan parti yang sedang mencorak pemikiran dan membelenggu pemikiran umat Islam," kata beliau.

AJK PAS Pusat, Dr, Dzulkefly Ahmad pula menegaskan sistem dua parti merupakan kaedah terbaik untuk mejadi semak imbang dalam pentadbiran negara.

Beliau memberi contoh sistem dua parti seperti Parti Republikan dan Demokratik di Amerika Syarikat dan Konservatif dan Buruh di England.

"Wujudnya dua parti adalah penghayatan yang cukup baik untuk mengekalkan sistem semak imbang yang baik namun tegasnya PAS tidak akan bergabung dengan Umno untuk kali kedua untuk tujuan itu.

"Cukuplah sekali PAS bersama Umno dan ditendang keluar tapi sekarang, setiap kali Ummno tersungkur dan mencari talian hayat, maka mengharapkan PAS untuk menjadi talian hayat mereka.

"Cukuplah sekali kami jatuh dalam lubang dan kami tidak akan masuk ke dalam lubang yang sama untuk dipatuk kali kedua," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Seorang lagi AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaafar yang turut menjadi panel pula berkata, seluruh ahli PAS perlu lebih aktif dalam menyuarakan pandangan terhadap parti bagi memastikan PAS tidak ketinggalan bersama Pakatan Rakyat.

"Ahli dan pimpinan pelbagai peringkat harus vokal, aktif dan berani bersuara.

"Tapi pendirian parti tidak pernah berubah. Kalau Presiden kata "A" maka "A" lah dasarnya.

"Apa yang penting bagaimana kita nak uruskan isu Melayu, bagaimana cara nak tonjolkan konsep negara ISlam dalam masyarakat majmuk, semuanya memerlukan perbincangan di semua peringkat," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Sementara itu, ahli panel bukan daripada PAS, pakar perlembagaan, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari mengingatkan PAS agar tidak terlalu 'syok sendiri' jika serius mahu menggantikan Umno pada pilihan raya umum ke-13.

Sebaliknya PAS, katanya perlu melakukan lebih banyak perubahan dalam parti.

“Yang kita nak cari dalam PAS ini bukan tok imam tapi panglima, pejuang... sebab itu PAS jangan syok sendiri.

“PAS nak syok sendiri atau mahu kemukakan alternatif kepada rakyat, kalau PAS masih bincang berapa ramai tok lebai nak diletakkan di atas (barisan tertinggi PAS) buat apa?

"Kalau macam ini PAS belum layak untuk menggantikan Umno," katanya yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Forum anjuran Free Public Forum Malaysia (FPF) dengan kerjasama ILHAM Centre dan Institute for Democracy & Economic Affairs (IDEAS) mendapat sambutan hangat dengan kehadiran kira-kira 200 orang, majoriti golongan muda.

Mereka kelihatan sangat tertarik dengan perbincangan meneganai masa depan PAS yang lebih baik apabila mengajukan pelbagai soalan dan mengutarakan pandangan masing-masing.

Hazayani Zakaria

Tiada ulasan: