25 Mei 2011

Mahfuz tanding satu sahaja, naib presiden

23 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -
Harakahdaily/-

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Datuk Mahfuz Omar hari ini mengumumkan beliau hanya akan bertanding satu kerusi sahaja iaitu naib presiden PAS dan tidak bertanding lain-lain jawatan termasuk AJK PAS Pusat.

"Saya dah faks surat jawapan dan hanya akan bertanding naib sahaja. AJK PAS Pusat bagi ruang kepada orang lain lah, saya tak mahu tamak jawatan," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Sehingga kini, tujuh dikatakan telah mengesahkan bertanding merebut tiga tempat yang diperuntukkan untuk jawatan tersebut.

Selain Mahfuz, enam lagi adalah Salahudin Ayub, Idris Ahmad, Datuk Husam Musa, Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dikatakan mahu bertanding tetapi tidak dapat disahkan daripada beliau sendiri.

Seorang lagi yang turut layak bertanding jawatan itu adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak.

Beliau dalam kenyataan hari ini bagaimanapun menolak untuk bertanding jawatan itu dan hanya mahu bertanding AJK PAS Pusat.

Mengulas jumlah calon yang ramai merebut jawatan nombor tiga parti itu, Mahfuz berkata ianya menggambarkan "segarnya demokrasi dalam PAS."

"Ini akan memeriahkan lagi muktamar kali ini.

"Saya jangka ia bakal menarik ramai pemerhati termasuk musuh juga akan mengikuti perkembangan ini," katanya lagi.

Ditanya peluangnya untuk menang beliau berkata ianya agak sukar diramalkan kerana semua calon ada wibawa dan kelebihan masing-masing.

"Menang atau kalah terserah kepada perwakilan.

"Saya positif yang penting perjuangan mesti diteruskan,"tegasnya.

Tiada ulasan: