25 Mei 2011

Pam hidrolik tahan batu besar hempap guru

22 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -

"KAMI terpaksa menggunakan pam hidrolik milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menahan batu besar daripada terus menghimpit mangsa terakhir yang masih bernyawa," kata Pegawai Persediaan Bencana Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Rozalla Iskandar Mohamad, 33, yang membantu menyelamatkan guru sambilan, Md Irwan Zakaria.

Rozalla berkata, mangsa ketika itu dalam keadaan sudah tidak bermaya dengan paha kaki kanan dan kaki kirinya yang tersepit pada dinding madrasah.

“Ada dua mayat kanak-kanak bertindih dan Md Irwan, 32, pula ditindih satu lagi mayat, selain besi khemah menghimpit kakinya. Atas empat mangsa tersepit itu, terdapat batu besar dan kami guna pam hidrolik untuk elak batu itu menggelungsur dan menimpa kepalanya,” katanya.

Beliau berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa mengeluarkan dua mayat yang menimpa mangsa terlebih dulu untuk mengurangkan bebanan, tetapi kira-kira jam 6.30 petang, operasi tergendala kerana berlaku pergerakan tanah selepas hujan lebat.

“Enam jam diperlukan untuk mengeluarkan mangsa. Kami menepuk pahanya kerana dia memberitahu kakinya kebas, selain kami bersembang dengannya bagi mengelakkannya pengsan,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pengurusan Bencana dan Logistik PBSMM, Nasir Khan Abdul Rahman, berkata, beliau tidak menyangka operasi SAR berjaya mengeluarkan semua mangsa tertimbus kurang daripada tempoh 24 jam.

Berita Harian/-

Tiada ulasan: