10 Mei 2011

United Makin Hampir

7 Jamadilakhir 1432H. [MOD] -



LONDON: Pengurus Manchester United, Alex Ferguson memberi tunduk hormat kepada penyokong di Old Trafford selepas pasukannya membenam Chelsea 2-1, kelmarin untuk menghampiri gelaran Liga Perdana Inggeris ke-19.

Ferguson, yang semakin hampir untuk membawa United mengumpul gelaran ke-12 sejak kejayaan pertamanya pada 1993, hanya memerlukan satu mata daripada dua perlawanan menentang Blackburn Rovers dan Blackpool untuk memastikan kejayaan itu.

Mereka mungkin menamatkan musim ini dengan dua trofi jika berjaya menumpaskan Barcelona dalam aksi final Liga Juara-Juara pada 28 Mei ini dan Ferguson ditanya sama ada tindakannya tunduk kepada penyokong adalah sebagai tanda terima kasih.

“Ya, mereka benar-benar luar biasa terutamanya pada 10 atau 15 minit terakhir, mereka cukup hebat,” katanya.

United mendahului saingan apabila Javier Hernandez (gambar) meledak gol seawal 37 saat perlawanan dan menggandakannya apabila Nemanja Vidic menanduk masuk hantaran Ryan Giggs.

Chelsea berjaya meraih gol sagu hati menerusi Frank Lampard untuk memberi tekanan kepada Old Trafford tetapi United terus bertahan.

“Saya fikir kami bermain dengan cemerlang dan bermula dengan baik, segalanya berjalan lancar,” kata Ferguson.

“Ia menampilkan kerjasama sepasukan yang baik. Apabila gawang kami bolos, keadaan agak tegang tapi penyokong banyak membantu. Kami terus mencipta peluang dan Wayne Rooney sepatutnya menjaringkan enam gol hari ini (semalam),” katanya.

Penyokong memberi tabik hormat kepada Ferguson dan berterima kasih kepadanya kerana memberikan satu hari yang cemerlang di Old Traf- ford di mana United menang 17 daripada 18 perlawanan Liga Perdana musim ini.

Mereka juga hampir memadamkan rekod Liverpool sebagai kelab Inggeris paling berjaya meraih gelaran liga.

Ketika Ferguson tiba di Old Trafford pada 1986, Liverpool sudah memenangi 16 gelaran berbanding tujuh dimiliki United dan beliau berjanji untuk menyingkirkan Liverpool daripada kedudukan mereka.

“Alangkah hebat dapat menjadi pasukan paling berjaya di negara ini dari segi kemenangan kejuaraan,” kata Ferguson.

“Kali pertama saya berada di sini, saya pasti gembira jika dapat berkhidmat selama empat atau lima tahun. Untuk mengukuhkan asas kelab ini mengambil masa yang panjang tapi sebaik mendapat gol pertama, prestasi kami semakin meningkat dari minit ke minit,” katanya. 

Reuters

Tiada ulasan: