24 Jun 2011

Barang kemas RM24.1 juta milik Eva Peron ditemui

22 Rejab 1432H. [MOD] -

SEBAHAGIAN barang kemas milik Eva Peron yang ditemui semula dipamerkan polis di Milan, Itali kelmarin.

MILAN – Sejumlah barang kemas bernilai lebih £5 juta (RM24.1 juta) yang pernah dimiliki Wanita Pertama Argentina, Eva Peron ditemui semula oleh polis Itali.

Pendedahan itu dibuat polis dalam satu sidang akhbar kelmarin di sini.

Semua barang kemas itu, termasuk sebuah tiara bernilai £3.5 juta (RM16.9 juta) yang dihadiahkan kepada Eva oleh keluarga diraja Belanda, dua bentuk cincin dan sepasang anting-anting ditemui di sebuah hotel di sini dalam satu serbuan pihak berkuasa.

Barang kemas itu dicuri sekumpulan penjenayah Serbia daripada sebuah butik di bandar Valencia, Sepanyol pada Disember 2009.

Pada tahun lalu, polis Sepanyol menangkap enam anggota geng penjenayah berkenaan tetapi gagal menemui barang kemas berkenaan.

Namun, hasil soal siasat terhadap tahanan-tahanan tersebut, polis Sepanyol memberikan maklumat mengenai seorang konconya kepada polis di sini, Itali.

Selepas membuat intipan selama beberapa bulan, penjenayah berkenaan ditangkap di sebuah hotel di sini dengan polis turut menemui semula barang kemas tersebut.

Eva yang merupakan isteri bekas Presiden Argentina Juan Peron lebih dikenali dengan gelaran Evita.

Wanita itu menjalani kehidupan penuh mewah dan glamor yang kemudian diadaptasikan ke layar perak menerusi filem berjudul, Evita dengan wataknya dilakonkan oleh Madonna.

Peron memerintah Argentina pada awal 1950-an sebelum hidup dalam buangan pada 1955, tiga tahun selepas Eva meninggal dunia pada usia 33 tahun akibat kanser. – Agensi

Tiada ulasan: