09 Jun 2011

JPN: Tak boleh ada 'Anak Malaysia'

7 Rejab 1432H. [MOD] -

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menegaskan bahawa 'Anak Malaysia' tidak boleh diterima sebagai satu etnik dan penentuan bangsa seseorang anak adalah ditentukan berdasarkan bangsa ibu bapa mereka.

"Jabatan ini ingin memaklumkan bahawa, penentuan keturunan bagi kanak-kanak adalah berdasarkan kepada keturunan ibu atau bapa kanak-kanak sahaja.

"Jabatan ini tidak dapat mendaftarkan sesuatu keturunan selain daripada keturunan ibu atau bapa kanak-kanak tersebut," kata Pegawai Perhubungan Awam Jainisah Mohd Noor dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan Malaysiakini semalam berhubung permohonan ADUN Subang Jaya Hannah Yeoh dan suaminya Ramachandran Muniandy yang mahu mendaftarkan anak perempuan mereka bernama Shay Adora Ram sebagai 'Anak Malaysia'.

Bagaimanapun, JPN menolak permohonan itu dengan mengatakan yang pasangan itu hanya dibenarkan memilih sama ada Cina atau India. Hannah (kanan) akhirnya terpaksa memilih Cina dan memutuskan untuk menulis surat rayuan kepada Najib dan JPN.
Bawa ke mahkamah

Susulan itu ahli parlimen Puchong Gobind Singh Deo melalui laman twitter menyokong tindakan pasangan tersebut dan mencadangkan perkara berkenaan dibawa ke mahkamah.

Sementara itu NGO 'Saya Anak Bangsa Malaysia' (SABM) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak segera mengarahkan JPN menerima pendaftaran semua kanak-kanak sebagai 'Anak Malaysia' berdasarkan tuntutan ibu bapa.

“Kami sepenuhnya menyokong ibu bapa dalam menentukan identiti anak tercinta mereka.

“Kami dengan sepenuh hati memuji Hannah dan Rama di atas keberanian dalam menegakkan pendirian mereka.

“Pendirian mereka mengingatkan kita tentang identiti umum sebagai manusia biasa, dan sebagai ahli kolektif yang dipanggil Malaysia, layak untuk mendapat penghormatan paling tinggi,” kata SABM dalam satu kenyataan hari ini.

Dua tahun lalu, kerajaan telah mengumumkan untuk menyemak keperluan dalam kategori 'etnik' dalam semua borang rasmi.

Dianggap tempang

“Kami hairan terhadap status semakan terhadap perkara ini. Apa yang jelas JPN belum bertindak terhadap keputusan itu.

“Dalam era teknologi maklumat, alasan JPN bahawa sistem baru belum dibentuk bagi menentukan 'identiti' baru itu boleh dianggap tempang,” kata kenyataan itu.

SABM berkata Najib dan kabinet perlu mengambil tindakan serta-merta bagi menunjukkan keikhlasan kerajaan memperkenalkan konsep 1Malaysia.

“Kita, sebagai rakyat, memerlukan secara sedar menolak etnik yang dicipta oleh ahli-ahli politik dan ahli birokrat yang membezakannya”. Kata SABM

“Kami menyeru semua rakyat Malaysia menyokong Hannah dan Rama dalam perjuangan mulia untuk mencabar paradigma ketinggalan zaman pentadbiran berdasarkan 'keetnikan'” mengulas kenyataan.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: