09 Jun 2011

Gaddafi saman NATO

7 Rejab 1432H. [MOD] -

KEPULAN asap menjulang selepas kediaman Gaddafi di tengah Tripoli dibom jet NATO. - Foto REUTERS

Tuduh serangan terhadap Libya jenayah perang

PARIS: Peguam anak perempuan pemimpin Libya Muammar Gaddafi, Aisha al-Gaddafi, semalam menuduh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara melakukan jenayah perang apabila serangan udaranya membunuh empat anggota keluarganya akhir April lalu, dengan memfailkan tuntutan saman di Paris dan Brussels.

Saman itu tidak menamakan sesiapa sebagai defendan tetapi mendakwa serangan bom yang dilakukan Tentera Bersekutu berpejabat di Brussels dan Paris sebagai punca jenayah terbabit.

Pegawai pendakwa raya negeri berkata, pihaknya sedang meneliti sama ada satu kes boleh diwujudkan dan proses ini mungkin mengambil masa beberapa minggu.

Tentera Bersekutu diketuai NATO melancarkan serangan udara ke atas Libya di bawah resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan matlamat melindungi orang awam daripada tentera Gaddafi.

Serangan udara semalam adalah yang paling hebat dengan lebih 60 bedilan dilancarkan di Tripoli menyebabkan 31 terbunuh.

Salah seorang daripada tiga orang peguam Perancis yang mewakili Aisha, Dominique Atdjian berkata, saman yang dikemukakan di Brussels mendakwa NATO melakukan jenayah perang.

“Dalam saman yang dikemukakan di Paris, Aisha meminta pihak berkuasa kehakiman di Perancis mengenal pasti identiti dan menghukum mereka yang terbabit dalam serangan 30 April sehingga menyebabkan anak bongsu Gaddafi, Seif al-Arab serta tiga cucunya, terbunuh.
Saman itu menyatakan bahawa salah seorang cucu Gaddafi yang terbunuh adalah anak perempuan Aisha.

Wujud laporan bercanggah mengenai sama ada anggota keluarga Gaddafi terbunuh dalam serangan itu. Pegawai Libya berkata, Gaddafi berada di dalam rumah ketika serangan tetapi terselamat.

Sementara itu, Menteri Luar Sepanyol, Trinidad Jimenez berkata, negaranya mengiktiraf Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) di Benghazi sebagai pemerintah Libya yang sah.

“Saya berada di sini (Benghazi) hari ini untuk mengesahkan bahawa NTC adalah pemerintah rakyat Libya yang sah,” katanya kepada wartawan.

Negara lain yang sudah berbuat demikian termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Britain, Itali, Qatar dan Jordan. – AP

Tiada ulasan: