20 Jun 2011

Pengarah didakwa 3 pertuduhan

18 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah yang mengusahakan syarikat pelaburan berasaskan rumpai laut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah.

Mengikut pertuduhan pertama, Wong Yiak Leong, 46, dituduh membantu syarikat AK United Sdn. Bhd. menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen di Tingkat 2 dan 4, Wisma Dinahari, Jalan Jejaka 4, Taman Maluri di sini, antara Oktober 2007 hingga November 2008.

Bagi pertuduhan kedua, Yiak Leong, sebagai pengarah syarikat itu didakwa menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen pada tempat dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh yang mewakili syarikat berkenaan dituduh melakukan kesalahan yang sama pada tempat dan tarikh yang sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 dibaca bersama seksyen 106(1) serta boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM10 juta, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. - Bernama

1 ulasan:

Suahati berkata...

dah orang malaysia suka melabur dan mendapat untung mudah.........