25 Julai 2011

Kompleks pasar RM10 juta

23 Syaaban 1432H. [MOD] -

IPOH – Sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi pembinaan Pasar Tanjung Rambutan melibatkan bangunan pasar dengan 300 lot kedai, medan selera dan kawasan riadah yang dikenali sebagai Riverfront di Tebing Sungai Kinta.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kompleks Pasar Tanjung Rambutan itu dijangka mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan sebelum boleh digunakan sepenuhnya.

“Kompleks ini turut dilengkapi dengan sistem kumbahan sistematik yang mampu membersihkan air kotoran sebelum disalurkan ke Sungai Kinta yang terletak bersebelahan pasar ini.

“Model pasar ini juga akan menjadi asas kepada pembinaan enam buah pasar baru di sekitar Ipoh yang akan dimulakan pembinaannya dalam masa terdekat,” kata Ahli Parlimen Tambun itu pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah, Pasar Tanjung Rambutan, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, pekan Tanjung Rambutan kini telah berkembang seiring dengan pembangunan di sekitarnya menyebabkan rata-rata penduduk memberikan harapan yang tinggi agar kawasan ini terus dibangunkan.

“Antara isu yang sering dibangkitkan ialah melibatkan keperluan padang rekreasi, pasar dan medan selera,” katanya.

Tambahnya, pelbagai usaha telah dijalankan bagi membolehkan pasar Tanjung Rambutan ini dibangunkan semula dan kini peruntukan diperoleh daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebanyak RM 5.8 juta.

“Daripada jumlah tersebut pembangunan semula pasar ini merangkumi pembinaan pasar basah, pusat penjaja, dan petak penjaja harian,” katanya.

Beliau berkata, terdapat 19 pasar awam yang dikendalikan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) termasuk Pasar Borong dan Pasar Besar Ipoh.

“Malah pembangunan semula pasar Tanjung Rambutan ini dilihat sebagai perintis dan model yang akan diikuti oleh pasar-pasar lain.

“Pihak Majlis akan menggantikan pasar-pasar uzur di sekitar Bandaraya Ipoh secara berperingkat agar matlamat untuk menjadikan Ipoh sebuah bandar pesat membangun akan tercapai,” katanya.

sinar harian/-

Tiada ulasan: