01 Julai 2011

Misi Gaza: Saya tarik diri sebab penganjur tak serius, kata Khalid Samad

29 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 30 Jun — Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad terus mendakwa misi kemanusiaan Lifeline for Gaza (LL4G) dicemari dengan agenda politik Umno BN selain pihak penganjur pula kelihatan tidak serius.

Oleh itu tegas Khalid (gambar), beliau memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai misi tersebut dan menyertai misi baru yang mempunyai tujuan sama iaitu memberikan bantuan kepada penduduk Gaza.

Khalid menambah beliau telah menunggu di Arab Saudi pada 20 Jun lalu untuk mendapatkan maklumat mengenai misi tersebut, namun tidak dimaklumkan sebarang perkembangan.

“Saya dapat tahu ada banyak campur tangan politik dalam LL4G.

“Saya berada di Arab Saudi sejak 20 Jun, yang mana Arab Saudi tak sampai 1,000 kilometer pun dari Gaza tapi tak dapat sebarang maklumat pun daripada pihak penganjur.

“Jadi saya rasa mereka tak serius, itu sebab saya tarik diri,” kata beliau dipetik Harakah Daily.

Bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini Khalid membangkitkan kembali isu Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang tidak dibenarkan berucap dalam program pelancaran LL4G 18 Jun lalu.

Beliau mempersoalkan sikap ketua misi LL4G, Dr Noorazman Mohd Samsudin yang menafikan mendapat tekanan daripada pejabat Perdana Menteri sedangkan pada awalnya mengakui perkara tersebut.

“Timbalan Presiden PAS tak dibenar berucap pada pelancaran LL4G 18 Jun. Penganjur Dr Noorazman telefon bagi tahu atas sebab tekanan dari JPM.

“Tapi lepas Mat Sabu buat sidang media, Noorazman nafi pula ada tekanan. Saya tanya kenapa perlu menipu, dia beri pandangan negatif kepada Timbalan Presiden PAS.

“Dia kata kenyataan itu tak betul, dia ditanya waktu memandu, jadi soalan tak jelas. Nak buat keluar kenyataan baru, malangnya kenyataan menyokong (JPM),” katanya.

Beliau turut mendakwa Umno tidak serius dalam isu Palestin sebaliknya hanya untuk berlagak hero.

“Ini menunjukkan mereka tidak serius, saja nak tunjuk bela Palestin tetapi sehingga hari ini mereka tak iktiraf Hamas,” katanya.

Dengan nada seloroh, Khalid berkata Umno BN seperti sudah terkena ‘sumpahan’ apabila segala program yang disertai parti itu akan tercemar dengan agenda politik mereka.

“Umno ini kena sumpahan, macam sejarah King Midas dulu pegang semua benda akan jadi emas, tapi Umno pegang apa sahaja jadi kotor, termasuklah pilihan raya, dan program LL4G ini,” katanya.

Khalid yang juga ahli jawatankuasa kerja pusat PAS menambah beliau tetap akan menyertai satu misi baru dengan tujuan sama yang akan disertai NGO Cakna Palestin, Muslim Care dan Mawaddah.

“Kita akan buat misi baru. Masuk pintu Rafah, dan akan masuk sebelum Ramadan.

“Kita dah hantar surat ke Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Mesir,” katanya.

Sementara itu laporan Bernama Online berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan solat hajat dan kutipan derma sempena misi kemanusiaan ke Gaza di semua masjid di bawah pentadbirannya selepas solat Jumaat esok.

Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha berkata solat hajat dan kutipan derma itu bertujuan bagi mendoakan keselamatan semua sukarelawan serta membiayai misi Flotila Pembebasan 2 LL4G, yang kini berada di Athens, Greece.

“Solat hajat ini bertujuan mendoakan kejayaan misi dan keselamatan pelayaran pergi dan pulang delegasi daripada segala tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Israel,” katanya.

Beliau berkata selain Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abdidin di Putrajaya, solat hajat dan kutipan derma itu juga akan diadakan di seluruh masjid di sekitar Wilayah Persekutuan.

Othman berkata bagi memperluaskan lagi usaha murni itu, pihaknya turut memohon jasa baik semua Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri untuk turut mengadakan solat hajat dan kutipan derma di masjid-masjid di bawah pentadbiran masing-masing Jumaat.

Selain kutipan derma, katanya sumbangan bagi membiayai misi itu juga boleh disalurkan ke akaun Maybank Berhad bernombor 564070002922 atas nama Life Line for Gaza.

malaysian insider/-

Tiada ulasan: