05 Julai 2011

Saluran gas Mesir diletup

3 Syaaban 1432H. [MOD] -

ISMAILIA, - Saluran paip gas dari Mesir ke Israel dan Jordan diletupkan dalam satu kejadian sabotaj hari ini, sekali gus memaksa penutupan aliran gas.

Menurut sumber keselamatan Mesir, letupan itu berlaku awal pagi ini di sebuah stesen saluran paip gas di utara Semenanjung Sinai di Bir Abd, kira-kira 60 kilometer dari timur Terusan Suez.

Ia merupakan serangan ketiga sejak Februari lalu di saluran paip gas yang sama, yang menyalurkan gas asli ke Israel dan Jordan.

Sumber keselamatan berkata, beberapa lelaki dilengkapi mesingan menaiki sebuah trak kecil memaksa pengawal keselamatan di stesen tersebut meninggalkan kawasan berkenaan sebelum mereka menanam bahan letupan.

"Kami masih belum mendapat maklumat yang lengkap sehingga kini, tetapi pada dasarnya letupan itu sama dengan dua letupan yang berlaku sebelum ini," kata satu lagi sumber lain kepada Reuters.

Jelas sumber itu, syarikat gas asli yang mengendalikan saluran paip itu segara menutup aliran gas sejurus letupan berlaku.

Saksi berkata, bunyi kuat letupan turut kedengaran di gurun tersebut, menakutkan penduduk sekitar dan api yang menjulang tinggi dapat dilihat dari lokasi kejadian.

Letupan yang berlaku pada 5 Februari dan 27 April lalu telah menyebabkan saluran paip itu ditutup selama seminggu.

Saluran paip gas itu dikendalikan Gasco, sebuah syarikat pengangkutan Mesir yang merupakan anak syarikat kepada syarikat gas nasional, EGAS. - REUTERS

Tiada ulasan: