16 Julai 2011

Tayamum pilihan wajib untuk solat

14 Syaaban 1432H. [MOD] -
Ahmad Baei Jaafar

Setiap orang Islam tiada pilihan selain bersuci untuk membolehkan mereka melakukan solat dan tawaf di Kaabah. Bersuci untuk solat dan tawaf ditentukan dengan berwuduk iaitu dengan membasuhkan beberapa anggota dengan air. Tetapi kalau tiada air atau seseorang yang anggota wuduknya tidak boleh kena air terdapat satu lagi pilihan yang disediakan iaitu tayamum.

Pada kali ini kita akan dalami bab tayamum di sudut faedah dan bagaimana digunakan dalam bersuci. Asas yang perlu difahami dalam tamamum ini ialah menyapu debu ke muka dan kedua-dua tangan sampai ke siku. Manakala fungsinya ialah sebagai ganti wuduk atau mandi.
Pemarduan tayamum ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat (mengerjakannya) sedangkan kamu dalam keadaan mabuk, hinggalah kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan dan janganlah pula (hampiri masjid) sedangkan kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) kecuali sekadar kamu hendak melintas hinggalah kamu bersuci. Namun jika kamu sakit atau sedang dalam musafir atau salah seorang antara kamu datang dari tandas atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapati air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun." (Surah al-Nisa: 43).

Dalam ayat lain Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam pelayaran atau salah seorang daripada kamu datang dari tandas atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapati air (untuk berwuduk atau mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang bersih, iaitu: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur." (Surah al-Maaidah: 6)

Rasulullah s.a.w. juga turut menjelaskan faedah tanah atau debu buat umat Islam dengan sabdanya yang bermaksud: "Seluruh tanah di bumi dijadikan sebagai tempat sujud dan bersuci bagiku dan umatku. Maka, di mana saja waktu solat menghampiri seseorang daripada umatku, tanah dapat menyucikannya." (Riwayat Ahmad).

Syarat Tayamum

Berdasarkan ayat dan hadis di atas dapat kita rumaskan bahawa untuk melaksanakan tayamum ada syarat yang mesti dipatuhi.

1. Sudah masuk waktu.
2. Tidak mendapat air setelah berusaha mencari.
3. Dengan menggunakan debu yang suci.

Jelas daripada syarat ini, si Ahmad yang hendak melakukan solat zohor misalnya mestilah menggunakan tayamum selepas masuk waktu Zohor. Maknanya kalau dia mengambil tayamum selum masuk waktu Zohor, tayamum itu tidak sah untuk solat Zohor. Jika dia melakukan solat Zohor dengan tayamum itu, maka solatnya tidak sah kerana dia masih dianggap tidak suci daripada hadas.

Syarat kedua pula, dalam kes di atas si Ahmad sewaktu bersedia untuk solat Zohor dan sebelum bertayamum hendaklah dipastikan air untuk bersuci atau berwuduk memang tiada. Hal ini mungkin telah dicari sebelum masuk waktu lagi dan kekal sehingga masuk waktu. Kalau adapun air barangkali hanya cukup untuk minum dan masak pada waktu itu.

Setelah syarat pertama dan kedua dapat dipenuhi, maka dapatkan debu yang suci (mutlak). Inilah syarat ketiga. Debu ini boleh didapati pada tanah liat, tanah biasa dan paling tidak pasir halus yang diayak. Pada hari ini, debu tayamum ini boleh dibeli di kedai yang menjual peralatan bagi urusan jenazah.

Cuma di sini ingin saya ingatkan pembaca sekalian, ada pendapat yang menyatakan boleh ambil debu pada dinding rumah. Sebenarnya debu pada dinding itu boleh terjadi apabila dipukul angin lalu memasuki celah-celah tingkap. Tetapi perlu diingat, rumah yang berdinding simen tidak boleh dikira sebagai debu yang suci. Hal ini kerana dinding itu disapu dengan cat cair. Debu cat bukanlah debu tanah yang dimaksudkan.

Syarat yang dinyatakan di atas hanya terpakai untuk solat fardu, tetapi untuk melakukan solat atau ibadah sunat tidak disyaratkan masuk waktu. Begitu juga tayamum untuk melakukan tawaf di kaabah boleh dilakukan bila-bila masa asalkan untuk tujuan tawaf.

Walau bagaimanapun , mereka yang hendak bertayamum kerana penyakit yang tidak boleh kena air, terdapat syarat lain yang dikenakan termasuk:
  1. Sudah masuk waktu.
2. Dengan menggunakan debu yang suci.
3. Berhalangan menggunakan air disebabkan sakit.
4. Anggota suci daripada najis.

Dalam kes orang yang sakit seperti demam yang tidak boleh kena air atau luka pada anggota wuduk yang dibalut, mereka boleh bertayamum. Seperti yang dijelaskan pada syarat di atas, si Ahmad boleh bertayamum walaupun ketika itu air banyak di rumahnya.

Syarat ketiga di sini adalah khusus untuk kes si Ahmad yang mengalami demam teruk yang kulitnya tidak boleh terkena air. Keadaan ini berdasarkan satu laporan doktor, “jika air terkena kulitnya maka demamnya akan lebih serius.” Ketika itu dia layak menggunakan tayamum. Tetapi kalau sekadar demam biasa sahaja tidak bolehlah dia bertayamum.

Manakala syarat keempat adalah khusus untuk mereka yang luka akibat kemalangan pada bahagian anggota wuduk. Dan kemudiannya bahagian itu dibalut dengan simen. Bahagian itu semestinya tidak boleh sampai air ke anggota wuduk itu. Untuk membolehkah dia solat, perlulah dia bertayamum bagi menggantikan wuduk untuk anggota itu. Walau bagaimanapun anggota wuduk itu hendaklah dibersihkan dahulu daripada najis sebelum dibalut.

Dalam keadaan itu, apabila hendak bertayamum, bahagian anggota itu tidak perlu dibuka lagi dan terus bertayamum bagi menggantikan wuduk untuk anggota tersebut. Ini bermakna wuduk perlu ambil seperti biasa, tetapi apabila sampai ke anggota yang berbalut itu, perlu ditayamumkan dahulu. Setelah itu sambung wuduk pada anggota yang seterusnya.

Anggota Tayamum

Anggota tayamum hanya ada dua sahaja iaitu muka dan tangan hingga ke siku. Cara mengambil tayamum sama seperti berwuduk pada dua anggota tersebut. Anggota muka perlu disapukan dahulu seperti mengambil wuduk, tetapi cukup dengan sekali sehaja. Begitu juga pada anggota tangan. Dahulukan tangan kanan dan kemudian anggota kiri, juga cukup sekali sapuan.

Berdasarkan itu tayamum ada empat rukun itu:

1. Niat; Aku bertayamum bagi menggantikan wuduk untuk membolehkah solat.
2. Sapu anggota muka
3. Sapu anggota tangan hingga ke siku (tangan kanan dan kemudian kiri).
4. Tertib.

Walau bagaimanapun bagi tayamum orang sakit perlu diniat tayamum kerana sakit bagi menggantikan wuduk. Dan untuk luka pula diniatkan tayamum untuk tangan (atau anggota wuduk yang dimaksudkan) kerana Allah taala.

Oleh sebab itu umat Islam tiada alasan lagi untuk tidak melakukan solat kalau sakit, hal ini kerana Islam telah menyediakan alternatif untuk umatnya menyucikan diri mereka. Malah mereka yang sakitpun kalau berhadas besar boleh menjadi bersih dengan tayamum. Semoga umat Islam sendiri berada dalam keadaan bersih dan beribadah.

Tiada ulasan: