05 Ogos 2011

Rahsia hidup mewah terbongkar

5 Ramadhan 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA – Rahsia kehidupan mewah dua pelajar warga Afrika terbongkar selepas mereka diberkas bersama dadah disyaki syabu bernilai hampir RM300,000, di Mentari Court, PJS8 di sini, kelmarin.

Suspek lelaki yang berusia masing-masing 26 dan 23 tahun itu adalah pelajar sebuah institusi swasta di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, suspek berumur 26 tahun diberkas, kira-kira jam 6.10 petang, di tempat letak kereta.

Beliau berkata, pemeriksaan menemui dua peket dadah disyaki syabu seberat 1.59 kilogram.

Susulan itu katanya, polis menyerbu rumah sewa suspek di sebuah kondominium di Taman Sri Subang dan memberkas rakannya bersama 59 gram dadah sama.

“Siasatan mendapati suspek daripada kumpulan pengedar yang sama. Kita percaya suspek menjual dadah ini dalam kalangan pelajar asing.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan suspek hidup senang dengan hasil yang diperoleh berikutan beberapa resit keluar masuk wang ditemui di dalam rumah tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, semalam.

Arjunaidi berkata, siasatan awal mendapati suspek bergiat aktif dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun lalu.

Suspek ditahan reman sehingga Rabu depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.

sinar harian/-

Tiada ulasan: