20 Ogos 2011

Sekeluarga huni surau

20 Ramadhan 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM: Ketika umat Islam sibuk menyediakan persiapan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, lima beranak di Padang Jawa terpaksa menumpang teduh di surau apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran bulan lalu.

Kehidupan mereka umpama pelarian apabila surau kecil yang tidak digunakan lagi menjadi dapur dan tempat tidur mereka.

Mohd Rezhal Abbas, 40, berkata dia dan keluarganya hampir pasti akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi di surau berkenaan memandangkan rumah barunya masih di peringkat awal pembinaan dan dia tidak memiliki wang mencukupi untuk menyiapkannya.

“Selepas kejadian itu, saya sekeluarga sebenarnya tidak tahu mahu ke mana. Bagaimanapun atas keprihatinan, penduduk membenarkan kami tinggal sementara di surau ini,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Mohd Rezhal menetap di surau itu bersama isterinya, Siti Suhaila Samingan, 35, serta anak mereka, Nur Nazatul Gaquyah, 14; Mohd Idham Hafiz, 13, dan Nor Farah Farhana, 9, sejak tragedi kebakaran itu yang berlaku empat hari sebelum Ramadan.

Menceritakan semula kejadian malang itu, Mohd Rezhal berkata, kebakaran kira-kira jam 6 petang pada 28 Julai lalu itu hampir memusnahkan semua harta-benda di rumah yang baru dibelinya tahun lalu.

Akibat kebakaran itu, mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang. Peralatan sekolah termasuk buku serta baju sekolah tiga anak Mohd Rezhal turut hangus.

Sehingga proses membaiki rumahnya selesai apabila sudah cukup wang, Mohd Rezhal menyatakan dia lima beranak tidur dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang keselamatan tinggal di dalam surau yang senang dimasuki sesiapa yang berniat jahat.

Sementara itu, Siti Suhaila yang mengambil upah menjahit, berkata dia bersyukur kejadian malang itu tidak membabitkan kemalangan jiwa walaupun ketika ini mereka terpaksa bergelandangan.

“Pada hari kejadian, saya hanya mampu berdoa keluarga selamat apabila melihat rumah saya sudah dipenuhi asap ketika saya sampai rumah,” katanya.

Menurutnya, pada hari kejadian dia sibuk membantu berniaga ikan kering di pasar malam berdekatan.

Beliau berkata, dia dan suami kini gigih mengumpul wang bagi memulihkan keadaan tanpa terlalu mengharapkan simpati orang ramai, namun jika ada pihak yang mahu membantu boleh menghubunginya di talian 017-2669762.

metro/-

Tiada ulasan: