20 Ogos 2011

Terpinga-pinga jatuh feri

20 Ramadhan 1432H. [MOD] -

GEORGETOWN: “Aku kat mana ni?” tanya seorang wanita sebaik dia diselamatkan anggota penyelamat Pasukan Gerakan Marin (PGM) selepas dia terjatuh dari feri dan ditemui terapung di kawasan laut berhampiran Pulau Angsa, di sini, semalam.

Wanita terbabit, Lim Soon Heok, 56, diselamatkan daripada lemas selepas anggota bot penyelamat PGM bertindak pantas sejurus mendapat maklumat daripada Balai Pelabuhan yang memaklumkan ada individu terjatuh dari feri.

Namun, ketika diselamatkan warga emas terbabit yang tinggal di Bayan Lepas, di sini, terpinga-pinga dan tidak tahu di mana dia berada, malah bertanya kepada pasukan penyelamat kenapa dia berada di laut.

Malah, suaminya yang dihubungi pasukan penyelamat juga hairan dan memberitahu yang dia tidak mengetahui di mana isterinya berada dan sejurus dimaklumkan yang isterinya baru saja diselamatkan daripada lemas, lelaki terbabit sempat bertanya apa yang dilakukan isterinya di kawasan laut itu.

Ketua Bahagian Operasi PGM Wilayah 1, Deputi Superintendan Rosli Sufian, berkata pihaknya mendapat maklumat kira-kira jam 3 petang daripada menara kawalan yang mengatakan ada orang terjatuh daripada feri.

“Anggota bot penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan kira-kira setengah jam selepas itu mangsa ditemui lemah dan terapung di laut sebelum diberikan rawatan kecemasan.

“Mangsa juga agak panik dan dia seolah-olah lupa di mana dia berada ketika itu sebelum anggota penyelamat membawanya ke jeti marin dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP),” katanya.

metro/-

Tiada ulasan: