20 Ogos 2011

Tindakan ganas Syria terhadap rakyat dikecam

20 Ramadhan 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, : Kerajaan Syria di bawah pemerintahan Presiden Bashar al-Assad dituntut agar melaksanakan perubahan-perubahan demokratik yang bermakna dan menghentikan tindakan keras terhadap pihak yang menuntut perubahan di negara itu.
Di antara perubahan yang dituntut oleh rakyat Syria ialah kebebasan berpolitik, bersuara dan memilih pemimpin sama ada melalui pilihanraya demokrasi atau berperlembagaan.

Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan, Syria telah dikuasai oeh satu keluarga dan satu parti sejak 40 tahun lalu dan kini sudah tiba masanya perubahan struktur pemerintahan dan budaya politik baru diperkenalkan di Syria, sesuai dengan semangat zaman ini yang menuntut perubahan.

Pengerusi Lajnah Antarabangsanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, oleh itu, Dewan Pemuda PAS menyertai masyarakat antarabangsa mengecam keganasan pasukan keselamatan Syria terhadap orang awam dan rakyat yang sedang menuntut perubahan demokratik di negara itu.

Menurut beliau, tindakan Kerajaan Syria melalui pasukan tentera yang telah membunuh rakyatnya secara rambang bagi mempertahankan kerajaan sedia ada dengan cara yang tidak munasabah amat dikesali.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Pusat dilaporkan, tentera Syria telah bertindak ganas seperti menggunakan kereta kebal dan senjata berat menyerang tempat-tempat awam seperti masjid, sekolah, pejabat serta kawasan perniagaan.

"Tindakan terdesak Kerajaan Syria yang sanggup menyerang masjid-masjid di Damsyik sangat mendukacitakan umat Islam di seluruh dunia," katanya seperti yang terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada kedutaan Syria, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menerusi memorandum tersebut, Dewan Pemuda PAS Pusat juga menuntut masyarakat dunia agar menyedari kepentingan politik kuasa-kuasa tertentu yang kelihatan mahu melemahkan Syria disebabkan peranannya sebagai penyokong gerakan-gerakan Islam yang dimusuhi Zionis.

Dunia Islam digesa mengambil sikap sewajarnya dalam hal ini dan tidak bertindak secara terpilih, setelah dunia dipertontonkan sikap 'double standard' pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam menangani permasalahan yang mengaitkan kumpulan-kumpulan Islam dengan perkara yang ekstrem dan ganas.

Dewan Pemuda PAS berharap agar Syria tidak dijadikan Libya kedua yang ditangani secara keras dan bertentangan dengan norma-norma antarabangsa di sebabkan kepentingan politik kuasa-kuasa besar yang dilihat mempunyai kepentingan tertentu dalam hala tuju demokrasi.

Memorandum tersebut diserahkan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nik Abduh Nik Abdul Aziz selepas solat Jumaat dan diterima oleh pegawai bahagian pentadbiran kedutaan Syria, Latt Zaifizzul Mansor untuk dipanjangkan kepada duta Syria di Malaysia.

Selain Raja Ahmad dan Nik Abduh, antara kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat lain yang turut hadir termasuk Redzuan Mohd Noor, bersama beberapa orang kepimpinan PAS Wilayah Persekutuan yang antara lain termasuklah Ketua Penerangannya, Mohd Nasaie Ismail.

Sebelum itu, mereka bersama puluhan orang pemuda PAS telah mengadakan perarakan dari Masjid Tabung Haji ke Kedutaan Syria untuk menyerahkan memorandum tersebut sebaik sahaja selesai solat Jumaat.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: