27 September 2011

82 Penduduk Sg Besar Terima Notis 5A

27 Syawal 1432H. [MOD] -

SUNGAI BESAR, 27 SEPT: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan surat hak milik tanah kepada 82 orang dalam Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) di Dewan Sri Bernam di sini semalam.

Surat hak milik tanah atau notis 5A itu diserahkan kerajaan negeri kepada sekumpulan penduduk di daerah Sabak Bernam itu adalah sebagai satu usaha membantu rakyat yang masih belum memiliki tanah atau kediaman sendiri selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri prihatin terhadap rakyat yang masih belum memiliki tanah atau kediaman sendiri dan penyerahan notis 5A itu diharap mampu mengatasi masalah pemilikan tanah yang dihadapi selama ini.

Beliau berkata, bagi mengelak masalah ketidakupayaan membayar premium yang membelenggu penduduk, kerajaan negeri juga memberi kelonggaran dengan penduduk hanya perlu membayar RM1,000 sebagai bayaran premium.

Tidak cukup dengan itu, katanya, kerajaan negeri turut membantu golongan yang langsung tidak mampu membayar premium tersebut menerusi dana kebajikan yang diwujudkan dengan syarat mereka yang dibantu itu dimestikan menjalankan kerja kemasyarakatan.

"Kita bagi kelonggaran dalam membayar premium ini. Ada penduduk yang kata tak mampu bayar premium walaupun kita bagi notis 5A. Kita buat keputusan mereka yang dapat surat hak milik tanah ini hanya perlu bayar RM1,000 sebagai bayaran premium," jelasnya.

Bagi yang tidak mampu membayar RM1,000 kerajaan negeri bantu bayar dengan tabung kebajikan yang diwujudkan.

"Tetapi mereka ini kena buat kerja kebajikan kerana hak pemilikan tanah ini hak penduduk. Jadi mesti buat kerja," katanya.

Abdul Khalid turut mengingatkan penduduk yang menerima surat hak milik tanah tersebut supaya tidak menjual tanah itu yang sudah dimiliki itu.

Selain itu seramai 45 orang turut menerima sijil Amanah Saham Bumiputra (ASB) daripada Abdul Khalid.

Difahamkan, peserta menerima sijil ASB tersebut dengan nilai sekurang-kurangnya RM1,000 setiap seorang.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohamad Khusrin Munawi; Speaker Dewan Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Kim; Pegawai Daerah Sabak Bernak, Mohamad Zainal Mohamad Nor dan barisan Exco Kerajaan Selangor.

Berhubung penyerahan sijil ASB pula, katanya, kerajaan negeri sentiasa berusaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat di negeri Selangor.

Katanya, bantuan menerusi pegangan saham ASB itu adalah salah satu langkah bagi tujuan itu.

Sementara itu, penduduk yang menerima surat hak milik tanah ketika ditemui, Heng Haw Chai, 42, dari Kampung Bagan, Sekinchan melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana akhirnya hajat bagi mendapatkan hak milik tanah itu menjadi kenyataan.

Katanya, dia dan keluarganya sudah menanti saat itu sekian lama sejak dari zaman bapanya lagi.

"Selepas lebih 40 tahun maka pada hari ini (semalam) hasrat saya dan keluarga menjadi nyata apabila kerajaan negeri memberikan surat hak milik tanah ini.

"Sebabnya sebelum ini kami sudah beberapa kali mengemukakan permohonan tetapi tidak berjaya," katanya.

Bagi Tee Kit Siang, 24, yang menetap di Kampung Sekinchan menjelaskan, sudah lebih kurang 40 tahun keluarganya menetap di kampung itu tetapi mereka tidak dberikan hak pemilikan tanah di kawasan tersebut.

Jelasnya, keluarganya yang sudah bertukar generasi bagaikan dinafikan hak tersebut.

"Bagaimanapun saya gembira kerana apa yang kami perjuangkan selama ini menjadi satu kenyataan apabila kerajaan negeri memutuskan memberi hak pemilikan itu kepada penduduk," katanya.

Bagi dua penerima sijil ASB, Ahmad Arif, 70, dan Nurudin Timan, 78, berkata Kerajaan Negeri sesungguhnya amat memahami kehendak rakyat dan sumbangan diterima sedikit sebanyak akan membantu dalam kehidupan mereka.

Ahmad berkata, dia sudah lama melabur dalam ASB dan bantuan diterima itu akan menambah lagi pelaburannya.

Begitu juga Nurudin yang bersetuju dengan menyatakan ia langkah yang bagus ke arah meningkatkan minat bagi meneruskan pelaburan.

tv news/-

Tiada ulasan: