27 September 2011

PAS selesai 80 peratus persiapan pilihan raya

29 Syawal 1432H. [MOD] -



GOMBAK, 26 Sept: PAS telah mempersiapkan kira-kira 80 peratus keperluan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS (JPP), Dr Hatta Ramli (gambar).

"Kita juga telah membuat count down (kiraan masa) kalau-kalau parlimen dibubarkan 11 November ini," kata beliau dalam wawancara khas dengan Harakahdaily.

Anggota Parlimen Kuala Krai itu diwawancara semasa majlis aidil fitri penduduk Kuala Krai di perantauan yang diadakan di pusat khidmat Parlimen Gombak Sabtu lepas.

Turut serta di majlis itu sebagai tuan rumah adalah semua Adun dalam kawasan Parlimen Kuala Krai, Kelantan.


Sabah, Sarawak dan Selangor selesai 100%
Menurut Dr Hatta, Pakatan Rakyat juga telah menyelesaikan 80 peratus perundingan pembahagian kerusi di kalangan parti dalam Pakatan iaitu PAS, PKR dan DAP.

"Kuasa untuk runding kerusi ini bukan tangjawab JPP tetapi sehingga kini kita telah selesaikan 80 peratus perundingannya.

"Hatta di Sabah, Sarawak dan Selangor kita telah selesai 100 peratus," kata Dr Hatta yang juga anggota Parlimen Kuala Krai.

PAS, katanya, akan bertanding beberapa kerusi di Sarawak dalam pilihan raya ini berbanding hanya satu kerusi dalam pilihan raya umum lepas.

Pada asasnya, kata beliau, Pakatan telah meletakkan kerusi yang ditandingi dalam pilihan raya ke 12 lalu sebagai asas pembahagian kerusi.

"Namun Pakatan juga membenarkan kita berunding untuk kerusi-kerusi tertentu dan pertukaran kerusi mengikut kesesuaian...ini yang sedang berjalan," kata beliau.

Sasaran 60 kerusi

Dr Hatta juga memaklumkan, JPP telah menyahut cabaran Presiden PAS untuk memenangi 60 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum ke 13 ini.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini memaklumkan, PAS mensasarkan 60 kerusi untuk menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Ia telah disasarkan oleh PAS melalui projek Roadmap to Putrajaya yang telah diluluskan oleh PAS Pusat.

Untuk melaksanakan sasaran ini, PAS telah memberikan fokus khas bagi 60 kerusi yang disasarkan untuk menang itu.

"Kita telah memberikan tumpuan secara individu setiap kerusi dan memberikan fokus khas bagi setiap kerusi berkenaan," katanya.

Beliau yakin, setiap kerusi yang disasarkan mempunyai keperluan dan masalah tersendiri dan pihak pusat akan memberikan bantuan mengikut keperluan itu.

"Kita mengenal pasti, antara masalah besar adalah ketidaksampaian maklumat ke peringkat akar umbi pengundi kita. Jadi kita akan memberikan tumpuan dalam aspek ini," katanya.

Dr Hatta juga sangat berharap bantuan dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) bagi mendekati pengundi bukan Islam.

"Kita berharap peranan DHPP untuk mendekati bukan Islam kerana menjadi taktik BN untuk menakut-nakutkan golongan ini," kata beliau.


Tuntutan Bersih 2.0


Dalam pertemuan itu, Dr Hatta juga berkata, pihaknya tidak menolak Bersih 3.0 akan diadakan jika kerajaan BN gagal menunaikan lapan tuntutan Bersih2.0

"Kita akan pastikan paling tidak lapan tuntutan Bersih 2.0 akan diterima di samping merunding lain-lain perkara.
(Dr Hatta bergambar dengan para Adun di Kuala Krai yang menjadi tuan rumah bersama beliau di samping para tetamu)

"Jika lapan tuntutan asas ini pun tidak dapat diterima kerajaan, ia (Bersih 3.0) mungkin jadi," katanya.

Dr Hatta juga berkata, antara tuntutan paling asas dalam Bersih 3.0 adalah penggunaan dakwat kekal untuk mengelakkan pengundian berganda dalam pilihan raya.

"Ia paling mudah untuk dilaksanakan dan jauh lebih murah dan mudah berbanding biometrik. Kalau ia tidak dapat dilaksanakan juga, saya tidak tahulah apa kedudukan kerajaan yang ada sekarang ini," kata beliau.

Persytiharan 16 September

JPP juga, katanya, menyambut baik perisytiharan yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak 16 September lalu.

"Cuma kira harap, ia dilaksanakan dan ganti kepada ISA misalnya hendaklah lebih baik bukan semakin teruk.

"Di samping itu, kita berharap kerajaan juga mengkaji beberapa undang-undang drakonian lagi iaitu Akta Mesin Cetak, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Kesemua undang-undang perlu dikaji kerana ia tidak diperlukan lagi," kata Dr Hatta, bekas pensyarah perubatan UKM itu.


Di mana bertanding?

Ketika ditanya, beliau akan bertanding di mana dalam pilihan raya umum ke 13 ini, Dr Hatta berkata, ia terserah kepada parti untuk menetapkannya.

"Sebagai ahli parti, bertanding atau tidak, di mana tempatnya, ia terserah sepenuhnya kepada parti, bukan hak kita," kata beliau.

Dr Hatta tinggal di Gombak, Selangor tetapi bertanding di kawasan parlimen Kuala Krai Kelantan dan menang dalam pilihan raya umum 2008 lalu.
H/daily

Tiada ulasan: