27 September 2011

Wanita Saudi boleh sertai pilihan raya

27 Syawal 1432H. [MOD] -

Kebenaran anggotai Majlis Syura disambut baik, Raja Abdullah dianggap tokoh pembaharuan

RIYADH: Buat kali pertama dalam sejarah, wanita Arab Saudi akan diberi hak untuk mengundi dan bertanding dalam pilihan raya tempatan serta menganggotai Majlis Syura mulai 2015.

Pengumuman mengenai berita gembira itu dibuat pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah yang dianggap sebagai tokoh pembaharuan dalam kerajaan konservatif Asia Barat itu kelmarin, ketika ucapan perasmian tahun ketiga sesi kelima Majlis Syura.

Bagi dunia wanita, ia adalah kejayaan besar untuk masa depan walaupun mereka belum dibenarkan menyandang jawatan menteri Kabinet, memandu kenderaan atau keluar negara tanpa kebenaran mahram.

Wanita Arab Saudi berdepan peraturan paling ketat berikutan nilai konservatif yang sering menyebabkan mereka menjadi sasaran polis pencegah maksiat yang menguatkuasakan peraturan keras terhadap undang-undang syariah di jalan dan tempat awam seperti pusat beli-belah dan universiti.

Semua pihak tahu peranan wanita dalam sejarah Islam dan kedudukan mereka tidak boleh dipinggirkan.

Ramai wanita hebat yang menyumbang ke arah kemajuan Islam sejak zaman Rasulullah. Kita juga menolak daripada mengetepikan peranan wanita dan ini adalah seperti yang digariskan syariah.

Kami memutuskan bahawa wanita dibenarkan menyertai Majlis Syura sebagai anggota untuk sesi akan datang dan seterusnya mempunyai hak untuk mencalonkan diri mereka bagi keanggotaan majlis perbandaran dan menyertai proses pilihan raya, titah Raja Abdullah yang dipetik akhbar, Arabnews.

Menteri Kesihatan, Dr Abdullah Al-Rabeeah berkata, keputusan itu disambut baik kerana memberi peluang kepada wanita menyertai pembuat keputusan dan hal ehwal kerajaan.

Malah katanya, sejak permulaan Islam, wanita bekerjasama dengan lelaki dan memberi sumbangan dalam pelbagai perkembangan.

Bagaimanapun, keputusan yang memberikan wanita hak mengundi dan menyertai pilihan raya perbandaran tidak cukup memuaskan keinginan yang meningkat untuk mendapatkan kedudukan sama dengan lelaki.

Wanita di negara itu perlu menunggu empat tahun lagi untuk menyertai proses pilihan raya sedangkan pilihan raya tempatan bakal diadakan Khamis ini.

Mengapa bukan esok. Saya rasa pemerintah tidak mahu menggegarkan negara tetapi kita lihat dikeliling kita dan adalah sesuatu yang memalukan kerana kita masih memikirkan bagaimana untuk mendapatkan hak mudah bagi wanita, kata pejuang hak asasi terkemuka, Wajeha al-Hawaidar.

Pengumuman itu dilihat sebagai cubaan perubahan cara Saudi, langkah mengelak penentangan ulama berkuasa dan kumpulan konservatif dalam masyarakat.

Ia dilihat sebagai usaha pemerintah mempertahankan kerajaannya daripada menerima nasib serupa negara Arab lain yang dijatuhkan oleh kebangkitan popular.

Bimbang dengan kebangkitan di negara itu, Mac lalu, Raja Abdullah membuat pengumuman pakej insentif $93 bilion (RM294.1 bilion) untuk kerja dan perkhidmatan bagi mengurangkan bebanan rakyat. AP/Agensi.

Tiada ulasan: