07 September 2011

Anak lawat mangsa simbah asid

9 Syawal 1432H. [MOD] -

JERANTUT, 7 Sept: Penderitaan dua beradik berusia 13 dan 10 tahun yang pernah menggemparkan negara akibat disimbah asid oleh jiran mereka sehingga parah dan cacat seumur hidup, mendapat perhatian dan simpati Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) dan PAS Kawasan Jerantut.

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman dan Naib Yang Dipertua PAS Jerantut, Yuslaidiyy Mat Esa kelmarin bertandang ke rumah ibu mereka di Jengka 9 di sini, berziarah sambil menghulurkan sumbangan barangan dan wang.

Menurut datuk mereka Che Sam Abu, 68, yang turut hadir, kedua cucunya Shafiq Haikal Mat Safar Zaidi dan adiknya Shafiyy Aiman pada sebelah malam 19 Julai lalu ketika dalam perjalanan pulang mengaji al-Quran telah disimbah asid oleh seorang lelaki bekas anggota tentera wataniah yang juga merupakan jiran mereka.

Tambahnya, akibat kejadian 8.30 malam itu kedua-dua beradik yang disimbah ketika sedang menunggang motosikal untuk pulang telah mengalami kecederaan parah pada muka dan badan selepas disimbah cuka getah.

“Saya yang bergegas ke situ mendapati kedua cucu saya meraung-raung kesakitan dan segera dibawa ke Hospital Jengka sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur dalam keadaan masih `berasap'.

“Sebulan lamanya mereka menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan baru dibenarkan pulang dua hari menjelang hari raya lalu,” katanya.

Shafiq Haikal, yang juga anak sulung daripada empat beradik itu belajar di Tingkatan Satu Sekolah Menengah Jengka 12, manakala Shafiq Aiman, anak kedua belajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Felda Jengka 9.

“Kedua-dua cucu kesayangan saya itu adalah pelajar pintar dan aktif di sekolah tetapi kini sudah ditimpa cacat seumur hidup di bahagian mata dan telinga,” kata Che Sam.

Difahamkan, penyimbah asid berkenaan yang juga seorang buruh ladang telah dihukum penjara lapan tahun dan empat kali sebatan oleh Mahkamah Sesyen Temerloh 26 Julai lalu setelah mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap dua beradik malang itu.

Sementara itu kedua beradik malang itu ketika ditanya, mengaku masih trauma dengan tragedi berkenaan tetapi tidak sabar untuk ke sekolah kerana sudah rindu dengan kawan-kawan.

Dalam pada itu Mazlan Aliman berkata kedua beradik itu masih memerlukan ihsan orang ramai kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi rawatan susulan dan terapi.

Justeru belua menyeru sesiapa yang berhasrat untuk menyumbang bolehlah menghubungi Che Sam di talian: 0139449296.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: