14 September 2011

Misi keluar negara tanpa kalis peluru

16 Syawal 1432H. [MOD] -



BERIKUT maut menimpa Noramfaizul dalam tugas misi bantuan ke Somalia, maka berbagai tindakan tindakan dicadangkan bagi mengelakkan kemalangan seperti kecederaan dan maut serta insurans perlindungan kepada keluarga di malang.

Seperti membekal jeket kalis peluru kiranya ke negara yang bergolak seperti di Somalia sekarang, di Bosnia dan di Iraq semasa perang memuncak dulu. Anggota rombongannya dilengkapkan dengan perlindungan insurans.

Ia adalah tindakan memperkemas pengurusan dan persediaan kebajikan untuk semua. Ia adalah tindakan yang baik dan terpuji. Kesemua tindakan susulan itu disebabkan terjadi kemalangan semasa bertugas itu.

Semua yang berbangkit itu adalah dalam perhitungan Islam dan ia adalah sebahagian dari persiapan dan perancangan kebajikan seperti yang disarankan oleh tema muktamar PAS yang terbaru itu ialah ke arah menegakkan negara dan masyakat berkebajikan.

Tahniah kepada keluarga Noramfaizul kerana disediakan oleh misi dengan perlindungan insurans dan mereka akan menerima ganjarannya. Dan selepas ini mungkin masing-masing dibekalkan dengan jaket kalis peluru.

Apa pun semua persiapan dan perlindungan itu tidak menjamin tidak akan berlaku kecederaan. Tetapi semua tindakan itu adalah untuk berhati-hati dan bagi mengurangkan kemalangan.

Yang penting dalam tugas dan amal membantu sebarang bencana dan ancaman kemanusiaan mesti diteruskan. Yang utama adalah bantuan dalam apa jua bentuk termasuk pergi sendiri ke  tempat kejadian seperti ke Somalia yang diancam kebuluran oleh kemarau yang teruk.

Persiapan mengelakkan kemalangan adalah perkara kedua. Jangan tanpa jaket kalis peluru dan perlindungan insurans, maka misi kecemasan tidak dilakukan lagi. Dan jangan kerana berlakunya satu kematian, maka kita kaji semula pengiriman petugas ke tempat yang memerlukan itu.

Kerja itu adalah kerja yang mulia. Jika bagi masyarakat yang tidak pahala dan dosa, berlumba-lumba untuk mengirim petugas kemanusiaan ke tempat seperti itu, maka Islam yang tahu ganjaran pahala tentulah lebih terpanggil untuk melakukan kerja kebajikan itu.

Selagi Malaysia mempunya sumber bantuan secukupnya, dan selagi acaman kebuluran di Somalia itu belum diatasi, maka sewajarnya ada misi dari negara kita bagi menyumbang apa yang terdaya. Pada ketika yang sama bantuan ke tempat lain seperti Gaza juga diteruskan.

Kita teringat dan kita memuji misi-misi bantuan kecemasan di masa lalu yang pergi ke Bosnia dan ke Iraq, betapa ancaman perangnya adalah lebih mencabar dari di Somalia. Mereka telah ke sana tanpa jaket kalis peluru dan ada doktor kita terkena peluru di sekitar punggung. Semua kejadian yang mereka lalui tidak mematahkan semangat untuk meneruskan kerja yang mulia.

Sepanjang sukarelawan kita mengambil bahagian dalam kerja seperti itu masing-masing pergi dengan perisai seperti yang diibaratkan oleh Dato Azeez, ketua Kelab Puera 1Malaysia bahawa mereka berjaket kalis peluru dengan doa orang ramai dan semangat mahu beramal.

Dengan perisai sedemikian sekaliannya pulang selamat ke tanahair. Hanya ajal yang menimpa Noramfaizul, jadi tragedi pertama yang menggemparkan seluruh rakyat hingga timbul berbagai cadangan menambah baik persediaan kita.

Jangan jadikan jaket kalis peluru dan perlindungan insurans untuk kita tidak menyambung kerja baik itu.

Adanya jaket kalis peluru itu  tidak lebih dari satu ikhtiar mengelak kecederaan. Nabi SAW dan para sahabat pun ada baju besi ketika berperang dengan musuh. Baju besi itu menjadi azimat mereka akan kebal. Ramai juga para sahabat gugur syahid sekalipun mereka lengkap dengan baju besi. Baju besi itu bukan satu jaminan.

Yang penting ialah kita ke medan jihad.

Tiada ulasan: