14 September 2011

PAS hormati keputusan Muhyiddin, minta hentikan hipokrisi

16 Syawal 1432H. [MOD] -



KUALA LUMPUR, 14 Sept:
 PAS menghormati keputusan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak sanggup berdebat dengan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, walaupun keputusan itu telah mengecewakan banyak pihak.

“Kerana sebelum ini, beliaulah yang secara yakin menyuruh Mohamad untuk bertaubat seolah-olah pasti apa yang Utusan Malaysia laporkan terhadap kenyataan Mohamad adalah benar,” terang Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menegaskan bahawa debat yang dicadangkan PAS berbentuk ilmiah dan bukannya untuk mencari siapa menang siapa kalah, tetapi untuk rakyat menilai hujah mengenai tafsiran sejarah pra-kemerdekaan masing-masing.

“Jadi seharusnya, tiada apa yang harus ditakutkan oleh mana-mana pihak sebab debat ilmiah ini bersifat terbuka kepada rakyat.

"Meskipun Muhyiddin menolak, namun PAS tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat menghina beliau sebagaimana yang dilakukan oleh graduan Oxford Ketua Pemuda Umno kerana PAS yang mengundang beliau, maka kita perlu hormati keputusan beliau samada untuk terima atau tolak,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu merujuk kerana karenah Khairy Jamaluddin yang melenting tak tentu arah apabila Mohamad menyuruhnya berdebat dengan Pemuda PAS. 

Orang ramai, katanya ingin mendengar hujah dari kepimpinan kedua-dua parti politik terutamanya setelah pemimpin dan media Umno telah begitu hebat menghentam dan mengkritik serta memutar-belitkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamad.

“Apa tidaknya isu ini dibelitkan sehinggakan ada seorang Menteri Besar terpaksa menidakkan kandungan buku yang beliau buat kata pengantarnya 7 tahun lalu demi menyelamatkan putar-belit yang semakin hilang arah,” sindir beliau merujuk kepada buku 'Pengukir Nama Johor' yang dikeluarkan Yayasan Warisan Johor.

Sikap Umno, kata beliau tidak menggambarkan keberanian untuk mempertahankan hujah yang dikemukakan sebagaimana PAS, yang telah menyatakan 8 pendirian tegas dalam isu kontroversi sejarah ini.

“Cuma PAS nasihatlah kalau undangan debat ilmiah tidak sanggup diterima, Umno haruslah berhenti londehkan hipokrisi sendiri di depan rakyat lagi dengan hanya berani di belakang; tapi bilamana diajak bersemuka, tak sanggup pula,” nasihat beliau.

Selain itu, Tuan Ibrahim turut berkata PAS juga bersetuju dengan pandangan Datuk Seri Khaled Nordin dan Tun Dr Mahathir bahawa perlunya ada kajian semula terhadap sejarah kemerdekaan negara kerana terdapat fakta yang dihilangkan dalam sejarah.

“Perkara ini dilihat semakin perlu hari ke hari, lebih-lebih lagi dalam keadaaan rakyat, terutamanya pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan tidak pasti samada perkataan ‘Merdeka’ patut digunakan bersama tarikh 31 Ogos 1957 apabila Majlis Professor Negara (MPN) dan Dr Mahathir telah secara tegas dan yakin menyatakan secara teknikalnya negara kita tidak pernah dijajah,” terang beliau.

Pendirian PAS dalam kontroversi isu sejarah:

1. PAS menolak dan tidak pernah menyokong fahaman, golongan mahupun gerakan komunis.

2. PAS menganggap peristiwa Bukit Kepong 1950 adalah satu tragedi, tapi berpendirian bahawa Mat Indera patut digolongkan sebagai salah seorang pejuang kemerdekaan yang berhaluan kiri.

3. PAS tegas mempertahankan fakta bahawa transkrip ucapan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pada Ogos 21 di Tasek Gelugor hanya mengiktiraf Mat Indera sebagai hero tanpa kaitan dengan komunis, akan tetapi akhbar Utusan Malaysia memutarkan kenyataan beliau sehingga melabelkan Mohamad and PAS sebagai penyokong komunis bermula 27 Ogos untuk 13 hari berturut-turut. Ini adalah satu tuduhan fitnah yang langsung tidak masuk akal.

4. PAS yakin dengan hasil penyelidikan yang tercatat di dalam buku ‘Pengukir Nama Johor’ terbitan Yayasan Warisan Johor pada 2004 bahawa Mat Indera adalah salah seorang agamawan dan juga pejuang kemerdekaan.

5. PAS juga yakin dengan hasil penyelidikan yang dibuat Ayub @ Uiop Kassim pada tahun 1973 untuk memenuhi keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, bertajuk “Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem” yang menyimpulkan bahawa Mat Indera bukan berfahaman komunis.

6. PAS berpendirian perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan bermula jauh lebih awal sebelum Umno ditubuhkan. Para pejuang kemerdekaan berhala kiri, yang mengambil ‘total confrontation approach’ menuntut kemerdekaan seperti Mat Indera, Rosli Dohbi, Datuk Maharajalela di Perak, Tok Gajah, Tok Bahaman di Pahang, Dol Said di Negeri Sembilan and Melaka, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu dan lain-lain lagi juga mesti diberi tempat dalam sejarah untuk jasa mereka.

7. PAS berpendirian bahawa Umno tidak pernah mengangkat senjata untuk mendapatkan kemerdekaan. Pejuang-pejuang lain yang menggadaikan nyawa mereka sehingga menyebabkan penjajah dalam keadaan amat parah. Apa yang Umno buat ialah menjalankan pusingan keempat yang akhir dan menuntut kredit mutlak atas kejayaan tersebut, tanpa sebarang pengiktirafan kepada pejuang-pejuang kemerdekaan yang tersungkur dalam tiga pusingan awal yang berjaya melemahkan kuasa penjajah. Walaubagaimanapun, PAS tidak menafikan bahawa Umno, walaupun sekadar melaksanakan tugas terakhir untuk mendapat kemerdekaan, mempunyai sedikit jasa dalam mendapatkan kemerdekaan negara.

8. Umno sekadar penerima manfaat terakhir yang mendapatkan kemerdekaan tapi dengan cara kanan, iaitu ‘peaceful cooperation’ dengan penjajah British. Oleh itu, mereka tidak boleh menafikan bahawa para pemimpin mereka pernah menjadi pegawai British satu masa dahulu. 

Tiada ulasan: