14 September 2011

Tangguh bubar Parlimen, laksana reformasi p'raya

16 Syawal 1432H. [MOD] -





KUALA LUMPUR, 14 Sept: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dituntut melaksanakan janjinya untuk melakukan reformasi pilihanraya dengan tidak membubarkan Parlimen selagi janjinya tidak dilaksanakan.

Sekiranya Najib bercadang untuk membubarkan Parlimen dalam masa terdekat sempena persidangan Parlimen bermula 3 Oktober ini, cadangan itu didesak ditangguhkan bagi membolehkan Perdana Menteri melaksankan janjinya terlebih dahulu.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat melihat perkara itu tidak sukar untuk dilaksanakan oleh Perdana Menteri kerana ia boleh disamakan dengan tindakan kerajaan yang menangguhkan keputusan syarikat-syarikat telekomunikasi (Telco) untuk mengenakaan caj cukai perkhidmatan 6% prabayar telefon mudah alih semalam.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menegaskan, PKR dan Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan caj cukai perkhidmatan 6% itu, tetapi jika kerajaan boleh menangguhkannya, tidak ada sebab Perdana Menteri tidak boleh menangguhkan pembubaran Parlimen selagi reformasi pilihanraya tidak dilaksanakan.

"Itulah tuntutan PKR dan Pakatan Rakyat yang mesti dilaksanakan oleh Perdana Menteri. Sekiranya tuntutan itu boleh dilaksanakan, Pakatan Rakyat bersedia bekerjasama dengan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang akan ditubuhkan nanti," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pemuda DAP (Dapsy), Antony Loke berkata, DAP berjanji akan memberi komitmen penuh kepada Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang akan ditubuhkan itu sekiranya Perdana Menteri berjanji tidak membubarkan Parlimen sempena persidangan Parlimen bermula 3 Oktober ini, selagi reformasi pilihanraya tidak dilaksanakan.

"Kami tak nak janji Perdana Menteri itu hanya sebagai sandiwara kerana jika pembubaran Parlimen dibuat sebelum reformasi pilihanraya dilaksanakan bermakna reformasi pilijhanraya tetap tidak dilaksanakan oleh kerajaan.

"Sebab itulah kami mendesak Perdana Menteri melaksanakan janjinya itu sebelum pembubaran Parlimen," katanya yang juga Ahli Parlimen Rasah yang turut bersama ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat lain pada sidang media itu.

Manakala Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, tuntutan 5 perkara oleh Pakatan Rakyat berkaitan reformasi pilihanraya amat perlu dilaksanakan oleh kerajaan bagi membolehkan pilihanraya di negara ini diadakan dengan bersih dan adil.

Katanya, dalam hubungan ini, Pakatan Rakyat tidak mahu kerajaan berdolak dalih lagi sehingga terus mengelirukan rakyat dengan pelbagai tindakan termasuk berhubung tindakan kerajaan memberikan kerakyatan kepada warganegara asing yang tidak diketahui statusnya.

"Ini samalah juga dengan tindakan pihak tertentu berhubung isu penjajahan negara yang jelas untuk mengelirukan orang ramai demi kepentingan politik Kerajaan BN," katanya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Manakala Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusuf berkata, untuk melaksanakan reformasi pilihanraya, kerajaan sudah boleh memulakannya sejak dulu kerana sebahagian daripadanya boleh dilaksanakan hanya menerusi peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Kenyataan beliau turut disokong oleh timbalannya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud sambil menambah,reformasi yang boleh dilaksanakan menerusi peranan SPR itu merupakan 8 tuntutan yang telah dikemukakan oleh Bersih baru-baru ini.

Sidang media tersebut diketuai oleh Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub. Turut hadir, Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar.

Tiada ulasan: