13 Oktober 2011

Kaunter Pejabat Agung PAS di Terengganu, Kedah

15 Zulkaedah 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 13 Okt: Pejabat Agung PAS akan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan pada 14 dan 15 Oktober di Chendering, Kuala Terengganu dan 22 hingga 23 Oktober di Kota Sarang Semut, Alor Setar, Kedah.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, program itu diadakan dengan kerjasama Jabatan Teknologi Maklumat PAS (JITP) di atas permintaan pihak penganjur sempena dengan program sambutan Himpunan PGU (PAS Ganti Umno) di Kuala Terengganu dan juga sempena Sambutan 60 tahun PAS peringkat Negeri Kedah.

Menurut beliau juga, ahli-ahli yang berminat untuk mendapat kad keahlian edisi terhad sempena 60 tahun PAS dengan bayaran RM5 sahaja boleh berbuat demikian di kaunter berkenaan selain bertujuan untuk memudahkan ahli-ahli berurusan dengan Pejabat Agung di samping melakukan proses pemutihan keahlian.

“Kepada ahli lama yang pernah membuat permohonan untuk pindah kawasan tetapi dia tidak tahu status juga boleh membuat semakan di kaunter ini. Kami menyediakan empat petugas pada satu-satu masa. Semua itu boleh diselesaikan,” jelasnya yang juga Exco Kerajaan Kelantan.

Katanya, kaunter itu akan menawarkan perkhidmatan pendaftaran keahlian PAS, semakan keahlian, mengemaskini maklumat keahlian, mencetak kad dan sijil keahlian serta menaiktaraf keahlian biasa kepada keahlian seumur hidup.

Beliau meminta ahli-ahli PAS yang datang bagi memeriah sambutan tersebut dapat mengunjungi kaunter yang disediakan bagi menyemak status keahlian dan mengemaskini maklumat ahli.

HARAKAHDAILY/-

Tiada ulasan: